“Apa tujuan menunjuk?” – Cuci lantai Masjidil Haram, netizen kecam foto Azmin Ali

“Apa tujuan menunjuk?” – Cuci lantai Masjidil Haram, netizen kecam foto Azmin Ali

Selain kehangatan isu ‘abam burger’ dan beberapa selebriti lain, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengundang perhatian di laman Twitter.

Beliau yang kini mengadakan misi perdagangan dan pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah berpeluang mengerjakan ibadah umrah dan berdoa di Bukit Marwah, lapor Astro Awani.

Menerusi akaun Twitter miliknya, Ahli Parlimen Gombak itu memuat naik beberapa posting termasuk meluahkan rasa syukur apabila dapat mengucup Hajarul Aswad tanpa perlu bersesak-sesak.

Malah, bekas timbalan presiden PKR itu turut berkongsi sekeping foto memaparkan beliau berkesempatan membantu petugas Masjidil Haram untuk mencuci lantai akibat hujan lebat di lokasi tersebut.

“Hari ini hujan rahmat turun dengan lebat. Syukur dapat menyumbang sedikit khidmat dan tenaga untuk bersama petugas Masjidil Haram tatkala hujan lebat yang turun selepas Zohor sehingga selesai Asar,” tulisnya.

Bagaimanapun, ketika meninjau ke ruangan komen, boleh dikatakan hampir semua mengecam tindakan Azmin yang dikatakan seolah-olah mahu menunjuk dengan berkongsi pelbagai foto di media sosial.

Malah terdapat segelintir netizen seakan-akan tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Azmin, sebaliknya meminta ahli tersebut fokus beribadah.

Dalam satu kenyataan, MITI memaklumkan misi tersebut adalah bagi mempromosikan peluang perniagaan dan kerjasama strategik antara Malaysia dan rantau Asia Barat dari 26 April hingga 4 Mei 2021.

Sumber: Astro Awani (Isabelle Leong) , Twitter Azmin Ali

Scroll to Top