mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia kekal dengan dua slot automatik ke kejohanan kelab Asia musim 2026/27 selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan pengagihan rasmi bagi zon Asia Timur.
Pengumuman itu menyaksikan juara Liga Super 2024/25, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal beraksi dalam saingan elit AFC Champions League Elite (ACLE), manakala Selangor FC diberi slot ke AFC Champions League Two (ACL 2).
Ia sekali gus membuktikan kemampuan kelab-kelab negara mengekalkan prestasi konsisten di peringkat benua, meskipun beberapa negara lain berdepan penurunan dalam sistem hierarki kelab Asia.
Saingan kelab Asia kini dibahagikan kepada tiga peringkat baharu — ACLE (peringkat tertinggi), ACL 2 (peringkat kedua), dan AFC Champions League Global (ACGL) untuk negara yang sedang membangun dalam bola sepak.
Keputusan AFC itu memberi petunjuk positif terhadap tahap profesionalisme Liga Malaysia (Liga M), khususnya dalam aspek pengurusan kelab dan pematuhan syarat lesen pertandingan.
Dengan tanggungjawab besar menanti, kelab tempatan perlu memanfaatkan peluang ini bagi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Musim 2024/2025 menyaksikan JDT mara ke pusingan 16 terbaik. Namun, mereka tersingkir selepas tewas 0-1 secara agregat kepada Buriram United dari Thailand.
Selangor pula gagal mara ke peringkat kalah mati selepas Muangthong United menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors 1-0 dalam perlawanan lain, sekali gus menamatkan saingan skuad Gergasi Merah di kedudukan ketiga kumpulan H.
© New Straits Times Press (M) Bhd




