Bellingham tutup mulut pengkritik

Bellingham tutup mulut pengkritik

Kansas City: Jude Bellingham tiba di Piala Dunia dengan tanda tanya mengenai tempatnya dalam kesebelasan utama England, namun dia menjawab segala keraguan dengan aksi cemerlang ketika menentang Croatia.

Pemain tengah Real Madrid itu dipilih Thomas Tuchel untuk mengisi peranan nombor 10 mengatasi rakan baiknya, Morgan Rogers, sebelum menjaringkan gol ketiga England dalam kemenangan 4-2, Khamis lalu.

Bellingham menerima pujian selepas England menguasai babak kedua di Arlington, Texas.

Walaupun melakukan kesilapan yang membawa kepada gol pertama Croatia, ia akhirnya dilupakan selepas kemenangan itu.

Pemain berusia 22 tahun itu tiba di Amerika Syarikat tanpa kepastian sama ada dia akan menjadi pilihan utama Tuchel.

Hubungannya dengan pengendali dari Jerman itu juga tidak begitu lancar sejak Tuchel mengambil alih pasukan pada awal tahun lalu.

Bellingham terlepas kem latihan England pada September selepas menjalani pembedahan bahu dan tidak dipanggil untuk aksi antarabangsa pada Oktober walaupun mengakui sudah cergas untuk beraksi.

Ketika itu, Tuchel menjelaskan keputusan berkenaan dibuat kerana Bellingham kurang rentak permainan dan bukannya disebabkan faktor peribadi.

Ia berlaku beberapa bulan selepas Tuchel mengkritik sikap pemain itu.

Bellingham yang melalui musim sukar bersama Real Madrid berkata gol pentingnya ke atas Croatia diharap dapat meredakan segala “bunyi bising” di sekelilingnya.

“Bagi saya, ia peluang untuk mengetepikan segala bunyi bising dan menunjukkan kepada negara serta rakan sepasukan bahawa saya komited membantu pasukan memenangi perlawanan,” katanya.

Bellingham mengakui dia mempunyai sedikit rasa tercabar yang membantunya mendapatkan fokus dan intensiti.

“Saya tahu ia sebahagian daripada kehidupan seorang pemain bola sepak. Saya tidak berdendam dengan sesiapa yang mengkritik saya kerana kadangkala saya memang layak dikritik.

“Hari ini saya mahu mengingatkan orang ramai mengenai kemampuan saya,” katanya.

Setahun lalu, Tuchel pernah mendedahkan ibunya sendiri berasa kurang senang dengan sebahagian aksi Bellingham di atas padang selepas kekalahan 1-3 England kepada Senegal.

Pengendali itu kemudian memohon maaf atas kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, Tuchel menegaskan dia tidak mahu memadamkan semangat yang dimiliki pemain itu.

“Dia memiliki sesuatu yang istimewa. Dia membawa semangat yang kami perlukan jika mahu mencapai kejayaan besar.

“Ia cuma perlu disalurkan kepada lawan dan matlamat pasukan, bukannya kepada rakan sepasukan atau pengadil,” katanya.

Bellingham kekal menjadi antara pemain kegemaran penyokong England, dengan ramai hadir memakai jersi yang tertera namanya.

Pemain tengah berpengalaman, Jordan Henderson turut memuji peranan positif Bellingham di luar padang, termasuk caranya melayan pemain muda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top