Jangan tebuk, karamkan kapal demi agenda peribadi – Fuziah

Jangan tebuk, karamkan kapal demi agenda peribadi – Fuziah

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Anggota PKR diminta tidak membawa agenda peribadi sekali gus ‘menebuk’ kapal parti, kerana ia hanya membawa kehancuran terhadap apa yang sudah dibina.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata, ia penting kerana jika kapal parti ditebuk dan karam kerana agenda berkenaan, ia hanya akan membawa kehancuran kepada semua.

Katanya, pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) seharusnya menjadi persaingan adik-beradik, bukan sebagai medan melawan musuh.

Beliau berkata, selepas kongres selesai semua anggota parti diminta bertaut kembali, berdamai (reconcile) dan bersatu padu (reconsolidate) selain bergerak sebagai satu pasukan, bersatu hati dan mengetepikan perbezaan yang ada.

“Ini pesanan saya, bawalah politik nilai, setuju tak setuju, tidak mengapa, kita adik-beradik, kita bukan melawan musuh.

“Bawalah politik baharu, politik nilai, politik khidmat, politik akhlak dan politik kenegaraan. Bawalah nilai yang baik. Kita boleh berbeza pendapat, boleh agree to disagree.

“Ini parti kita, kita berada dalam kapal yang bawa ke destinasi kita. Jika kita bawa agenda peribadi dan tebuk kapal ini maka semua akan tenggelam, siapa nak tampal?

“Seorang tebuk lubang, semua karam. Jangan ambil ringan, bukan mudah nak bina kapal dan pastikan ia selamat. Jika karam, bukan yang tebuk lubang sahaja karam, tapi semua akan karam sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR 2025, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, anggota parti perlu menginsafi PKR sebelum ini pernah dihina dan dianggap sebagai parti nyamuk sebelum berjaya menerajui Kerajaan Perpaduan, ketika ini.

“Kena ingat, kita pernah dipukul, disembur air, dipenjara dan masuk lokap.

“Kita bina parti ini dengan kesusahan, air mata dan keringat, bukan mudah untuk kita sampai ke tahap ini dan bina keyakinan rakyat.

“Kita pernah dikata parti nyamuk dan tidak boleh bertahan, namun kita terus bertahan dan hari ini kita menjadi kerajaan dan Presiden parti, Datuk Seri Anwar adalah Perdana Menteri.

Beliau seterusnya mengingatkan anggota PKR supaya sentiasa mengingati aku janji dan ikrar parti untuk membangunkan negara, bangsa dan masa depan bukan untuk diri namun untuk rakyat.

“Tawarkanlah yang terbaik, bawa politik nilai bukan politik tohmahan dan bukan setakat politik retorik,” katanya.

Dalam pada itu, Fuziah meminta semua anggota parti supaya tidak leka dan berlengah dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, termasuk PRN Sabah dan Sarawak selain Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Selepas Kongres Nasional Keadilan, PRN Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi, PRN Sarawak tahun depan dan seterusnya PRU16.

“Dalam menghadapi dua pilihan raya penting itu, parti menuntut agar semua anggota dan jentera bergerak dengan disiplin tinggi serta tumpuan sepenuhnya.

“Kita adalah Keadilan. Tiga perkara utama iaitu jentera, disiplin dan fokus tidak boleh dipisahkan.

“Kita tidak boleh lagi berlengah atau berkata, ‘Oh tak apa, biar orang lain yang buat, kita tak perlu.’ Semua perlu bergerak serentak dan bersatu agar kemenangan dapat diraih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top