hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai dikelar rakan serumah yang juga warga asing di sebuah premis kuarters pekerja di Jalan SS 14, di sini, hari ini.
Kejadian itu dilaporkan seorang lelaki tempatan yang juga majikan mangsa pada 6.29 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, susulan itu pihaknya ke lokasi bersama
pasukan forensik polis dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk tindakan lanjut.
“Mangsa berusia 28 tahun meninggal dunia akibat dikelar suspek yang juga rakan serumahnya.
“Susulan itu pihak polis menahan suspek berusia 29 tahun tidak jauh dari lokasi kejadian pada 8.15 pagi dan pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan sebagai kuarters pekerja oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pencucian bangunan.
“Empat pekerja tinggal di rumah berkenaan dan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Mohd Fairus berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Siti Sarah Johari di talian 013-209 7958 atau IPD Subang Jaya di 03-7862 7222 untuk membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd