Petaling Jaya: Seiring dengan kepesatan teknologi, Agrobank memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang dikenali Siti sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi digital dalam sektor perbankan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Siti berfungsi sebagai ikon pesona bagi memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat perbankan dengan lebih pantas dan efisien.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Agrobank untuk meningkatkan pengalaman pelanggan serta memperkukuh kecekapan perkhidmatan dalam era digital, selari dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan pelanggan masa kini.
“Penggunaan AI ini akan digunakan di platform media sosial dan perbankan elektronik Agrobank.
“Pelanggan boleh berinteraksi dengan Siti bagi tempoh 24 jam untuk mendapatkan maklumat tepat produk dan perkhidmatan Agrobank,” katanya.
Menurutnya, Siti dipilih sebagai nama pesona AI Agrobank kerana ia menggambarkan asas penubuhan bank itu dan melambangkan kejituan semua masyarakat pertanian.
Terdahulu, Agrobank melancarkan pesona AI yang dikenali sebagai Siti dalam Majlis Anugerah Media Agrobank 2024/2025 di sini.
Dalam majlis bertemakan AI itu, Agrobank menobatkan seramai 16 pengamal media di seluruh negara membabitkan lima kategori iaitu Anugerah Media Cetak dan Protal Berita (Berita), Anugerah Media Cetak dan Portal Berita (Rencana), Anugerah Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian (Berita dan Laporan Khas), Anugerah Media Radio dan Anugerah Teknologi dan Digital Agrobank.
Wartawan New Straits Times, Ahmad Mukhsein Mukhtar berjaya meraih tempat ketiga bagi Anugerah Media Cetak dan Portal Berita sekali gus membawa pulang piala dan wang tunai RM1,000.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, penganjuran Anugerah Media Agrobank 2024/2025 itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen wartawan dan pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang berkualiti berkenaan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
“Agrobank amat menghargai rakan-rakan media yang sentiasa menyokong, melaporkan dengan berintegriti dan menjadi jambatan penghubung antara syarikat dan masyarakat.
“Media memainkan peranan penting dalam memperkasa naratif positif berkenaan pertanian moden, keterjaminan makanan dan pelbagai inisiatif kerajaan dalam membangunkan sektor ini
“Kami berharap media dapat meneruskan usaha untuk memperkasakan bidang agro makanan dan industri pertanian di negara ini dengan mengeluarkan berita, cerita dan dokumentari supaya dapat menarik minat masyarakat terutama dalam kalangan golongan muda unutk menceburi bidang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Anugerah Media Agrobank turut menyaksikan pelancaran Agro Biz Awards 2025 yang bertujuan menghargai kecemerlangan dan sumbangan luar biasa pemain industri komuniti tani dalam memperkukuh agenda keselamatan makanan negara.
Penyertaan bagi Agro Biz Awards 2025 akan dibuka mulai 16 Jun 2025 dengan mempertaruhkan lima kategori utama iaitu Agrobank SME of the Year, Agrobank Biz Women Award, Agrobank Biz Youth Award, Agrobank Biz Innovation Award dan Agrobank Biz Disability Empowerment Award.
Beliau berkata, sebagai penyedia penyelesaian kewangan, Agrobank amat berbesar hati untuk memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan pemain industri komuniti tani yang menyumbang kepada sektor pertanian, perikanan, perladangan, penternakan serta bidang-bidang berkaitan dengan keseluruhan rantaian makanan.
“Agro Biz Awards 2025 turut menampilkan kategori khas untuk golongan wanita, belia dan individu kelainan upaya sebagai tanda komitmen terhadap keterangkuman, agar semua lapisan masyarakat diberi peluang dan pengiktirafan untuk memajukan sektor agromakanan negara.
“Saya berharap penganjuran Agro Biz Awards 2025 dapat menarik minat dan penyertaan dalam kalangan pemain industri agro tani seluruh negara di mana kita akan berikan penghargaan untuk memilih usahawan tani terbaik dalam kalangan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




