Undav anggap aksi final ibarat berdepan Bayern, Real

Undav anggap aksi final ibarat berdepan Bayern, Real

Berlin: Kemenangan dalam final Piala Jerman Ahad ini akan mengesahkan kebangkitan Stuttgart dalam kalangan elit Bundesliga, tetapi buat Arminia Bielefeld, ia akan menjadi detik paling bersejarah dalam tempoh 120 tahun penubuhan kelab itu.

Stuttgart yang pernah menjuarai Bundesliga lima kali dan memenangi Piala Jerman sebanyak tiga kali, berjaya bangkit semula daripada zaman kejatuhan di bawah kendalian Sebastian Hoeness jurulatih muda yang meletakkan semula kelab di landasan kejayaan.

Sebaliknya, Bielefeld hanya beberapa hari lalu meraikan kejayaan naik ke divisyen kedua selepas dua musim menjunam ke Liga 3 Jerman.

Kini mereka hanya selangkah daripada menjulang trofi utama pertama dalam sejarah sesuatu yang tidak pernah dilakukan pasukan divisyen ketiga sejak Hannover memenanginya pada 1992.

Stuttgart hampir tersingkir musim lalu sebelum Hoeness anak kepada bekas pemain antarabangsa Jerman Barat, Dieter Hoeness menyelamatkan mereka melalui perlawanan playoff.

Setahun kemudian, dia membawa kelab itu ke tempat kedua liga dan layak ke Liga Juara-Juara.

Malah, Stuttgart menamatkan musim ini dengan pencapaian membanggakan apabila lima pemain mereka dipanggil menyertai skuad Liga Negara-Negara, Jerman, di mana hanya Bayern Munich menyumbangkan jumlah sama.

Penyerang Stuttgart, Nick Woltemade, yang sebelum ini hanya memanaskan bangku simpanan di Werder Bremen, turut dipanggil menyertai skuad Jerman buat kali pertama.

Pemain setinggi 1.98 meter itu digelar ‘Messi Dua Meter’ kerana kemahiran menggelecek dan sentuhan penyudahnya yang tajam.

Namun begitu, Stuttgart enggan memandang rendah cabaran Bielefeld yang menyingkirkan empat pasukan Bundesliga dalam laluan ke final, termasuk juara bertahan Bayer Leverkusen.

“Bielefeld bukan sampai ke final secara kebetulan. Kami akan beraksi seolah-olah menentang Bayern atau Real Madrid,” kata Deniz Undav.

Sekitar 100,000 penyokong Bielefeld dijangka membanjiri Berlin walaupun Stadium Olimpik hanya mampu menampung 74,000 penonton.

Bekas pemain legenda, Ansgar Brinkmann berkata: “Ahad nanti, Bielefeld akan kosong. Anda boleh rompak siang hari pun tiada siapa di sana!”

Jurulatih Arminia, Michel Kniat pula berkata, kejayaan menjulang Piala Jerman akan menjadi detik paling bermakna buat kelab dan penyokong.

“Saya sering disuruh bertenang dan menikmati suasana Berlin. Tapi saya hanya boleh menikmatinya jika kami menang,” katanya.

Stuttgart akan cuba mengulangi kejayaan terakhir mereka menjulang Piala Jerman pada 1997 ketika menewaskan kelab divisyen tiga Energie Cottbus.

Kini mereka sekali lagi diuji kelab dari divisyen bawah, dan kali ini, Arminia pula mahu cipta sejarah tersendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top