sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengorbanan dan kerja keras Hakim Danish Ramli sejak kecil akhirnya membuahkan hasil apabila pelumba muda negara itu menghadiahkan kemenangan bersejarah buat Malaysia di Grand Prix (GP) Republik Czech, sekali gus membanggakan kedua ibu bapanya.
Kejayaan pelumba berusia 18 tahun itu muncul juara Moto3 di Brno bukan sahaja mengakhiri penantian 10 tahun Malaysia untuk kembali bergelar juara di pentas dunia, malah menjadi detik paling membanggakan buat keluarganya yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya sejak dari usia tujuh tahun.
Ibu Hakim Danish, Nor Hayati Abdul Razak, meluahkan rasa syukur dan bangga melihat segala usaha anaknya selama ini akhirnya diterjemahkan dengan kejayaan yang cukup bermakna.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Berkat usaha keras kamu dan juga doa daripada semua, akhirnya berkumandang juga lagu Negaraku semalam. Terima kasih Ya Allah.
“Alhamdulillah, penalti tidak menghalang kamu untuk berusaha keras dari awal perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Matlamat kamu adalah podium buat Malaysia. Syabas dan tahniah daripada ibu, abah dan seluruh ahli keluarga di atas kejayaan ini,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut Nor Hayati, kejayaan itu membuktikan semangat juang tinggi yang dimiliki Hakim Danish yang tidak pernah mengalah walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kariernya.
Beliau turut berharap anaknya terus mengekalkan momentum cemerlang itu dalam perlumbaan akan datang.
“Teruskan kecemerlangan untuk perlumbaan seterusnya, Abang Hakim Danish (panggilan Hakim Danish di rumah). Insya-Allah.
“Terima kasih buat pasukan, penaja dan juga semua yang sentiasa memberikan sokongan dan doa selama ini,” katanya.
Kemenangan di Brno hadir dengan penuh dramatik apabila Hakim Danish terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14 selepas dikenakan penalti, meskipun layak di petak kedua hasil aksi cemerlang dalam sesi kelayakan.
Namun, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu membuktikan kemampuannya apabila bangkit memintas pencabar satu demi satu sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Jalur Gemilang kembali berkibar dan lagu Negaraku bergema di pentas Moto3 buat kali pertama sejak kemenangan terakhir Khairul Idham Pawi di GP Jerman pada musim 2016.
Ia sekali gus menjadi hadiah paling bermakna buat keluarga Hakim Danish yang tidak pernah berhenti percaya terhadap impian besar anak mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




