saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Toh Ee Wei dilihat lebih matang apabila bergandingan semula dengan Chen Tang Jie bermula di Terbuka Singapura minggu depan selepas menggalas tugas dengan baik ketika membimbing rakan sepasukan sementara, Loo Bing Kun.
Ee Wei-Bing Kun hanya sempat beraksi dalam dua kejohanan iaitu di Terbuka Taiwan dan Masters Malaysia, selepas Ee Wei serta Tang Jie dipisahkan pada penghujung Mac lalu ekoran tiada persefahaman.
Keputusan itu menyaksikan Ee Wei digandingkan dengan Bing Kun manakala Tang Jie bersama Chan Wen Tse, namun Ee Wei-Tang Jie akan kembali bersama bermula di Terbuka Singapura.
Ee Wei berkata, sebagai pemain yang lebih berpengalaman berbanding Bing Kun, dia melihat pemain berusia 23 tahun itu mempunyai masa depan yang cerah.
“Itu (bergandingan semula dengan Tang Jie) kita tengoklah nanti macam mana prestasi kami di Singapura.
“Tapi sepanjang bergandingan dengan Bing Kun saya mahu dia lebih dikenali sebab dia sangat rajin ketika sesi latihan selain mempunyai disiplin tinggi.
“Segala pengalaman ini bagus untuknya dan harap dia boleh beraksi di peringkat lebih tertinggi lagi selepas ini,” katanya.
Ee Wei juga berpendapat, selain Bing Kun, terdapat ramai pemain pelapis yang bagus dalam acara beregu campuran dan dia percaya mereka akan peroleh keputusan yang baik sekiranya mendapat bimbingan yang betul.
“Seperti saya katakan tadi, mereka sangat berdisiplin dan bekerja keras. Jadi bila ada sikap seperti itu, saya yakin mereka akan dapat keputusan yang bagus apabila turun beraksi,” katanya.
Ee Wei-Bing Kun tersingkir daripada Masters Malaysia slepas tewas 21-19, 20-22, 18-21 di tangan gandingan nombor 23 dunia dari Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan pada pusingan kedua.
Sejak digandingkan pada hujung 2022, Ee Wei-Tang Jie berjaya meraih tiga gelaran Jelajah Dunia BWF, iaitu Masters Orleans 2023, Terbuka Taiwan 2023 dan Terbuka Korea 2024.
Mereka juga pernah mencapai ranking tertinggi dalam karier iaitu berada di tangga ketiga dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd