
TOKYO: Balu muda kepada jutawan hartanah Jepun yang turut digelar “Don Juan”, ditahan hari ini selepas disyaki membunuh suaminya hanya beberapa bulan selepas berkahwin, kata media tempatan, memetik sumber polis.
Kosuke Nozaki, 77 yang pernah tular otobiografinya kerana mengakui menghabiskan berjuta dolar untuk wanita muda dan cantik, mati pada 2018 akibat keracunan.
Balunya, Saki Sudo, 25 dikatakan membunuh Nozaki dengan memberi sejenis ubat perangsang dalam jumlah yang banyak. Beberapa laporan menyebut ia telah dicampur ke dalam minuman, kerana tiada tanda suntikan pada tubuhnya.
Polis tempatan enggan mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi AFP.
Nozaki, yang menjalankan perniagaan hartanah, syarikat penjualan minuman keras dan syarikat pinjaman wang, mendakwa dalam otobiografi terlarisnya bahawa dia telah menghabiskan tiga bilion yen untuk memikat 4,000 wanita.
“Mengapa saya buat duit, kerana saya mahu berpacaran dengan wanita cantik,” tulisnya dalam buku pada 2016 berjudul “Don Juan of Kishu”.
“Saya tidak berminat dengan kereta atau rumah. Sebagai ganti, saya mempunyai keinginan tanpa batas untuk melakukan hubungan seks dengan wanita cantik,” katanya dalam buku itu, yang turut berkongsi cara untuk menggoda pelajar kolej dan kru kabin.
Nozaki membina kekayaannya dari bawah, menjual segala-galanya dari sisa logam, kondom hingga minuman keras, menurut laman web penerbit buku itu.
Dalam wasiatnya, dia ingin menyumbangkan 1.3 juta yen kepada kota Tanabe di wilayah Wakayama, tempat tinggalnya.
Oleh kerana separuh daripada harta pusaka di bawah undang-undang sivil, menjadi milik balunya kota itu telah mengadakan perbincangan dengan Sudo mengenai pembahagian wang itu, lapor Sankei Shimbun.
Menurut laporan akhbar, Sudo didakwa mencari maklumat dalam talian mengenai dadah sebelum kematian suaminya.
Dalam sebuah kolum yang ditulis Nozaki untuk laman web Perniagaan Gendai pada tahun 2018 – beberapa bulan sebelum kematiannya – dia begitu “yakin akan bahagia” mengahwini Sudo, walaupun beliau diberi amaran mengenai niat isterinya yang mungkin hanya mengejar hartanya.
Mereka bertemu di lapangan terbang Haneda Tokyo. Nozaki sanggup berlakon seolah terjatuh untuk mendapatkan perhatian Sudo, seorang model.
Dalam ruangan sebelumnya, Nozaki berkata dia mula terkenal di Jepun berikutan kejadian pada 2016, apabila teman wanitanya yang berusia 27 tahun mencuri wang tunai dan barangan bernilai 60 juta yen daripadanya.




