London: Pengendali Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo, mahu anak buahnya menjadikan semangat juang Taiwo Awoniyi sebagai inspirasi menjelang perlawanan penentuan menentang Chelsea di Stadium City Ground, esok.
Forest kini berada di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) dan masih menyimpan harapan untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama sejak musim 1980-81, suatu pencapaian bersejarah bagi kelab yang hampir tersingkir musim lalu.
Untuk melakukannya, Forest perlu menang ke atas Chelsea dan mengharapkan sama ada Newcastle (lawan Everton) atau Aston Villa (lawan Manchester United) gagal mencatat kemenangan.
Jika berjaya, Forest akan menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik.
“Perlawanan ini untuk Taiwo. Apa yang berlaku kepadanya sangat menyentuh hati kami. Kami mahu jadikannya sebagai pembakar semangat,” kata Nuno pada sidang media, merujuk kepada insiden cemas apabila Awoniyi dimasukkan ke hospital dan berada dalam koma selepas pembedahan akibat kecederaan perut.
Penyerang Nigeria itu terpaksa direhatkan hingga akhir musim, namun Nuno mendedahkan perkembangan positif terkini: “Dia sudah boleh berjalan dan mula makan seperti biasa. Kami semua mendoakan agar dia segera pulih dan kembali bersama pasukan.”
Pemain-pemain Forest sebelum ini mempamerkan solidariti dengan mengenakan baju-T bernama Awoniyi semasa sesi memanas badan, sementara Morgan Gibbs White mencium jersi bernama rakannya itu selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas West Ham minggu lalu.
“Kami akan bermain untuk Taiwo, untuk pasukan, untuk penyokong, untuk bandar ini. Tapi pada akhirnya, kami harus fokus hanya pada permainan,” tegas Nuno.
Dalam masa sama, spekulasi mengenai masa depan Nuno terus hangat diperkatakan dengan laporan di Itali mendakwa AS Roma berminat mendapatkannya, namun bekas pengendali Wolves itu pantas menepis khabar angin tersebut.
“Anda fikir saya ada masa untuk fikir semua itu? Fokus saya sekarang ialah pasukan dan apa yang perlu kami buat untuk menang. Itu saja.”
Jika gagal layak ke UCL, kemenangan ke atas Chelsea masih menjamin Forest satu slot ke Liga Europa, satu pencapaian besar buat kelab yang hanya dibarisi nama sederhana di atas kertas.
© New Straits Times Press (M) Bhd
