zhahirah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dalam era TikTok, Reels dan dunia serba laju, siapa sangka pesta buku masih mampu mengumpulkan ribuan jiwa yang dahagakan ilmu, motivasi dan ketenangan.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 bukan sekadar pentas jualan, tapi medan suara hati seperti yang dikongsi oleh empat penulis berlatar belakang berbeza, namun berkongsi semangat yang sama: buku takkan pernah mati.
Penulis muda yang semakin mendapat tempat di hati anak muda, Iddin Ramli, 28, tampil dengan nafas baharu tahun ini.
Tidak lagi sekadar menulis untuk penyembuhan diri, Iddin kini beralih kepada penulisan berasaskan Islam dan tadabbur Al-Quran.
“Tahun ini saya fokus pada konsep Islamik. Kita bedah ayat Al-Quran, kaitkan dengan kisah Nabi SAW. Saya nak orang nampak Islam tu jalan bahagia.
“Kini cabaran paling besar ialah menawan hati anak muda yang lebih selesa melayan skrin berbanding menyelak helaian buku.
“Nak terbit buku senang, tapi nak tarik orang baca itu yang susah. Kita kena kerja lebih kuat,” katanya.
Sementara itu bagi Aisyah Hijanah Azhari, 27, penulisan bukanlah untuk pengaruh sebaliknya dia menyifatkan sebagai amanah jiwa.
“Apa yang kekal bukanlah jumlah tontonan, tapi ilmu yang masih hidup walaupun kita sudah tiada. Saya tulis buku supaya ia jadi amal jariah sesuatu yang boleh terus beri manfaat walaupun saya tiada nanti.
“Pada masa kini dunia penulisan ada dicemari oleh buku pempengaruh yang hanya indah pada kulit, namun kosong isinya.
“Bukan semua buku beri manfaat. Kita perlukan penulis yang jujur, yang tulis dari pengalaman sebenar,” katanya.
Sementara itu suaminya, Alif Teega atau Mohd Hazalif Mohd Hazani, 31, memilih untuk menulis bukan kerana ikut arus tetapi kerana mahu menyentuh hati.
“Ramai orang tulis buku sekarang, tapi adakah ia benar-benar beri manfaat? Saya tidak menulis kerana ‘trend’.
“Saya menulis kerana melaluinya dan mahu kongsi supaya orang rasa, eh aku tidak keseorangan,” katanya.
Berhubung platform seperti TikTok dan BookTok, Aliff Teega percaya ia membantu bukan sahaja dari segi jualan, malah mampu mencetus minat membaca dalam kalangan mereka yang sebelum ini jauh dari buku.
“Sekarang sehari pun boleh jual banyak buku dengan video. Yang tak baca pun mula minat. Itu magiknya,” katanya.
Manakala pelakon, pelawak, dan pelukis, Datuk Imuda atau Datuk A Rahim Muda, 66, turut tidak ketinggalan memeriahkan PBAKL 2025 dengan buku hasil tulisannya.
“Walaupun dunia berubah, saya percaya buku tetap ada tempatnya asalkan ia segar dan berkualiti.
“Saya ingat dulu orang tidak pandang buku, tapi tengok sekarang di pesta buku ini, mahu mencari tempat meletak kenderaan pun penuh. Orang masih nak baca, masih dahagakan ilmu,” katanya.
Bagi Imuda, penulis masa kini perlu menghasilkan karya yang relevan dengan generasi baru dan tidak sekadar mengulang cerita lama.
“Gunalah teknologi, AI semua tu, tapi isi buku kena kuat. Cerita basi orang tak lalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




