'Pesalah' paling comel

'Pesalah' paling comel

Bangkok: Seekor kucing di Thailand mencuit hati netizen apabila ‘ditangkap’ dan diambil gambar ‘mugshot’ sebagaimana pesalah lain untuk direkodkan, atas kesalahan selepas beberapa kali menyerang anggota polis yang cuba menyelamatkannya.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan seorang anggota polis Bangkok yang dikenali sebagai Da Parinda Pakeesuk berkongsi kisah seekor kucing baka American Shorthair yang sesat dan dibawa ke balai polis oleh seorang orang awam.

Pakeesuk dengan penuh kasih sayang menerima kehadiran kucing itu di balai, dan mengambil berat tentangnya.

Namun, kucing comel yang memakai gelang leher merah jambu itu ternyata bersikap liar apabila mencakar dan menggigit beberapa anggota polis yang bertugas.

“Kucing ini didakwa menyerang anggota polis dan akan ditahan. Sila kongsikan supaya pemiliknya datang membayar jaminan,” tulis Pakeesuk secara gurauan di media sosial.

Malam itu, Pakeesuk membawa kucing itu pulang ke rumah dan memuat naik gambar comel si gebu yang sedang duduk di dalam kereta.

Seorang netizen menyakat, “Kucing itu nampak seperti mengerutkan dahi, seolah-olah tidak berterima kasih diselamatkan.”

“Sayang kucing, kalau bukan kerana polis ini, kamu mungkin kini tiada rumah,” kata seorang lagi netizen dengan nada santai.

Pakeesuk juga berkongsi bahawa dia sudah menyediakan makanan, kotak pasir dan mainan untuk tetamu tak dijangka itu.

“Ia sedang menjalani hidup yang terbaik, sementara polis pula adalah mangsa sebenar,” tambah Pakeesuk berseloroh.

Ramai netizen berminat untuk mengambil kucing itu tetapi Pakeesuk menegaskan keutamaan adalah mencari pemilik asalnya.

“Kalau anda benar-benar sayang kucing, bolehlah ambil salah seekor kucing jalanan yang saya jaga atau dari pusat jagaan haiwan tempatan,” katanya.

Selain kerja hakiki polis, sebagai seorang pencinta haiwan, Pakeesuk menyelamatkan 20 kucing jalanan dan enam anjing sepanjang masa.

Sehari kemudian, pemilik kucing menghubungi balai polis.

Media Thailand, Khaosod English melaporkan nama kucing itu ialah Nub Tang yang bermaksud “mengira wang”.

Sebagai meraikan kembalinya Nub Tang, pemiliknya menghiasi leher kucing itu dengan renda halus di balai polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top