Belasah pelajar perempuan hingga cedera, polis tahan 7 remaja

Belasah pelajar perempuan hingga cedera, polis tahan 7 remaja

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seramai tujuh pelajar sekolah menengah ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes pelajar perempuan dibelasah yang videonya tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, mereka ditahan kira-kira 3 petang yang membabitkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki, kesemuanya berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun.

“Pelajar lelaki ditahan dipercayai bertindak sebagai individu merakam keseluruhan kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, polis dilapor menyiasat insiden itu selepas menerima laporan dibuat mangsa sehari selepas kejadian.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira 8 pagi, 22 Mei lalu dengan mangsa didakwa dipukul oleh lima pelajar perempuan hingga lebam kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.

Pelajar terlibat dipercayai mengenali satu sama lain dan berhubung melalui kumpulan WhatsApp dikenali ‘Angel’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top