am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Ya. Yassin sudah pulang ke Malaysia.”
Demikian kata isteri kepada pelawak Yassin Yahya iaitu Farah Waheeda Maharidan yang mengesahkan suaminya itu sudah berada di pangkuan keluarga selepas dilaporkan hilang daripada radar industri hiburan sejak tujuh bulan lalu.
Belum bersedia untuk menceritakan kejadian sebenar yang terjadi kepada Yassin yang didakwa ditahan di Jeddah, Arab Saudi atas kesalahan dadah, Farah bagaimanapun memohon ruang untuk Yassin bertenang terlebih dulu.
“Beri ruang untuk Yassin berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Sebenarnya saya nak rahsiakan perkara ini, tapi saya faham ramai yang menantikan kepulangannya ,”katanya kepada Harian Metro.
Menurut Farah, Yassin berada dalam keadaan baik dan berat badannya juga meningkat.
“Alhamdulillah dia sihat. Berat badannya juga makin naik.
“Saya dan seluruh keluarga gembira dapat bertemu semula dengan Yassin,” katanya.
Terdahulu ketiadaan Yassin dalam acara membabitkan kumpulan Senario menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.
Situasi ini menjadi lebih hangat apabila media sebelum ini melaporkan mengenai penahanan seorang pelawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober lalu kerana kesalahan memiliki ganja.
Nama Yassin mula dikaitkan dengan insiden itu, namun rakan-rakan seangkatan dalam Senario memilih untuk tidak memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.
Difahamkan, pelawak berkenaan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan di Arab Saudi dan dijadualkan pulang ke tanah air sekitar April lalu.
Dalam pada itu, pelawak Saiful Apek dalam satu kenyataan Yassin tidak ditahan di penjara sebaliknya sedang menjalani pemulihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




