Kes simbah asid: Polis ambil sampel asid dari tempat kerja 2 suspek

Kes simbah asid: Polis ambil sampel asid dari tempat kerja 2 suspek

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis sudah mengambil sampel asid dari sebuah kilang getah di Kuala Krai dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata sampel berkenaan bagi mengenal pasti sama ada ia sama dengan cecair asid yang digunakan terhadap mangsa dalam kejadian membabitkan pengusaha spa di Bachok, pada 17 Mei lalu.

“Setakat ini kita masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia dan ia mengambil sedikit masa.

“Sampel yang diambil dari kilang getah tempat dua suspek bekerja itu untuk pengesahan sama ada ia bahan sama digunakan ketika kejadian simbah asid.

“Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya berhubung motif kejadian, Mohd Yusoff berkata setakat ini belum ada kesimpulan berhubung punca kejadian.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kita dalam proses mengambil keterangan suspek. Pada masa sama kita masih mengesan seorang lagi suspek dipercayai rakan kepada dua suspek yang ditahan.

Pada 17 Mei lalu, seorang pengusaha spa disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang.

Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top