am@hmetro.com.my
Shah Alam: Ahli perniagaan berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM5.3 juta selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes terbabit daripada lelaki berusia 67 tahun berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek memperdaya mangsa melalui iklan di satu aplikasi mengenai tawaran pelaburan.
“Siasatan mendapati mangsa menekan pautan diberi lalu disambungkan ke aplikasi WhatsApp dan dihubungkan menerusi panggilan telefon dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai Ms Ng selaku tenaga pengajar.
“Mangsa dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan suspek (Ms Ng) meminta mangsa mendaftar sebagai pelabur baru di platform pelaburan itu selepas seminggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pada peringkat awal mangsa mendapat pulangan berjumlah RM24,308.48 hingga membuatkannya bertambah yakin.
Katanya, mangsa kemudian membuat 13 kali transaksi berjumlah RM5.3 juta ke tiga akaun bank berbeza dan dijanjikan keuntungan mengikut harga pasaran.
“Bagaimanapun, apabila mangsa ingin membuat pengeluaran keuntungan pelaburan, suspek mengarahkannya membayar pelbagai cukai untuk mendapatkan wang terbabit.
“Mangsa berasa ditipu lalu membuat laporan polis,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




