am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tanggungan majikan dari segi tuntutan bil perubatan terus meningkat adalah antara beberapa impak yang akan berlaku jika cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun diteruskan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ini kerana keperluan ergonomik mereka yang sudah berusia akan berbeza berbanding golongan muda.
Bagaimanapun katanya, jika mereka tidak dapat memenuhi keperluan kerja secara fizikal, mental dan kognitif, maka kerja yang sesuai, masa fleksibel dan gaji yang sesuai boleh dicadangkan.
“Memang terdapat kelebihan jika mereka yang sudah berusia 60 tahun masih bekerja iaitu dari segi kemahiran, kenalan dan pengalaman luas dalam menjalankan kerja serta boleh memberi nasihat kepada organisasi.
“Namun, kesan lain pula adalah kos pembayaran gaji yang tinggi kerana mungkin sudah sampai had maksimum gaji dan organisasi perlu mengeluarkan kos besar untuk emolumen pekerja.
“Selain itu, organisasi berkenaan juga tidak dapat mengambil ramai orang muda kerana bayaran gaji terpaksa diagihkan kepada mereka yang lebih berpengalaman berbanding pekerja muda yang baru,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan warga emas juga tidak mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan.
Oleh itu katanya, jika had umur persaraan kepada 65 tahun diteruskan, maka ia akan dapat membantu mereka memenuhi keperluan hidup dan meneruskan membuat simpanan.
Dr Sharifa Ezat berkata, banyak negara sudah kerap membincangkan mengenai had usia yang bersesuaian untuk persaraan.
Katanya, beberapa negara maju seperti Belgium, Bulgaria, Lithuania, Amerika Syarikat, Switzerland dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sudah menetapkan usia 65 tahun untuk lelaki dan 63 tahun untuk wanita bersara.
“Had umur ini dinaikkan secara perlahan-lahan, sebagai contoh di EU dicadang 67 tahun pada 2030, kerana menepati tahap kesediaan populasi, jangka hayat warga emas dan tahap kesihatan mereka.
“Di Indonesia tahap persaraan adalah 69 tahun, Singapura (63 tahun) dan United Kingdom (66 tahun).
“Jadi, jika Malaysia masih bercadang menaikkan had usia persaraan, maka akan ada impaknya tersendiri,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman dilaporkan berkata kerajaan wajar mempertimbang had usia persaraan di Malaysia dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.
Azalina berkata, perubahan had usia persaraan itu dilihat wajar kerana ramai dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif.
Bagaimanapun, kelmarin lebih 15,000 pembaca Berita Harian Online menolak cadangan usia persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun berbanding 60 tahun ketika ini.
Lebih menarik, kebanyakan pembaca mencadangkan usia persaraan diturunkan kepada 55 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd



