Nyawa melayang hanya kerana berebut tandas

Nyawa melayang hanya kerana berebut tandas

Malang: Insiden berebut tandas antara dua lelaki di sebuah warung kopi di Desa Bulupitu, Kecamatan Gondanglegi, Kabupaten Malang di Indonesia bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut ditikam.

Dalam kejadian yang berlaku pagi semalam, mangsa Ahmad Husaini, 25, ditikam Muhammad Fikri, 26, sebanyak 20 kali sehingga maut hanya kerana perselisihan faham kecil, menurut laporan Kompas memetik suryamalang.com.

Meskipun tidak saling mengenali, kedua-duanya berada di warung kopi sama sambil meminum arak bersama rakan masing-masing.

“Mangsa dan suspek tidak ada hubungan dan tidak saling mengenali,” kata Ketua Polis Daerah Malang, AKBP Danang Setiyo Pambudi, pada Jumaat.

Kes ini bermula apabila mangsa mahu masuk ke dalam tandas, tetapi suspek sudah berada di dalamnya. Kerana tidak sabar, mangsa mengetuk pintu.

Apabila suspek keluar, mangsa tiba-tiba memukul pipi suspek.

Kerana terlalu emosi, suspek kemudian mengeluarkan pisau yang sudah dibawanya dari rumah lalu menyerang mangsa.

Selepas ditikam pisau, mangsa tersungkur di tanah. Suspek kembali menyerang mangsa dengan pisau.

“Tikaman pisau mengenai bahagian belakang, bahu, badan, hingga paha mangsa. Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 20 kesan tikaman di tubuh mangsa,” ujar Danang Setiyo Pambudi.

Selepas membunuh mangsa, suspek melarikan diri ke arah Empangan Ketapang, Desa Sukoraharjo, Kecamatan Kepanjen, Kabupaten Malang.

Di sana, suspek mencuci darah yang melekat pada tubuh dan pisaunya.

Seterusnya, suspek menelefon kakaknya dan kakaknya meminta suspek untuk pulang ke rumah.

Sementara itu, warung tempat kejadian itu penuh dengan darah mangsa.

“Saksi yang berada di lokasi kejadian, menyiram kesan darah menggunakan penyembur pencuci motosikal. Ini dilakukan kerana panik, kemudian saksi termasuk pemilik warung melarikan diri,” kata Danang Setiyo Pambudi lagi.

Tidak lama kemudian, kejadian ini diketahui oleh Polis Daerah Malang.

Berdasarkan bukti kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, suspek akhirnya menyerah diri kepada Balai Polis Gondanglegi pada malam berikutnya.

“Barang bukti yang dirampas antara lain sebilah pisau sepanjang 30 sentimeter, pakaian berlumuran darah, dan empat botol minuman keras jenis arak Bali dari tempat kejadian,” menurut Danang Setiyo Pambudi.

Atas kejadian ini, suspek didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan tentang pembunuhan dan Seksyen 351 Ayat 3 Kanun Keseksaan tentang penganiayaan yang mengakibatkan kematian, dengan ancaman hukuman maksimum 15 tahun penjara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top