sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengajar senior mereka, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan kemenangan tiga set untuk muncul juara Masters Malaysia di Axiata Arena, sebentar tadi.
Meskipun Aaron-Wooi Yik dilihat menjadi pilihan utama untuk meraih gelaran di tempat sendiri, namun pasangan muda negara itu membuktikan sebaliknya dengan permainan yang cukup baik dan konsisten untuk menang 12-21, 21-15, 21-16 dalam masa 50 minit.
Di set pertama, Wei Chong-Kai Wun tidak membenarkan lawan mereka berada di hadapan serta berjaya meraih beberapa mata berturut-turut dan hanya memerlukan 12 minit sahaja untuk membawa kelebihan di set seterusnya.
Namun, Aaron-Wooi Yik kembali memperkemaskan rentak permainan di set kedua dan bermula baik untuk mendahului lawan dengan permainan pantas serta mematikan bola secepat mungkin.
Ketika kedudukan 6-6, Aaron-Wooi Yik meneruskan permainan berintensiti tinggi dan itu membolehkan mereka mengheret permainan ke set penentuan.
Di set ketiga, kedua-dua pasangan negara itu dilihat lebih bersedia dan masing-masing menunjukan permainan pantas serta cuba mengurangkan segala kesilapan di dalam gelanggang.
Biarpun lawan mereka mempunyai pengalaman luas, tetapi Wei Chong-Kai Wun sangat tenang mengawal permainan dan membalas setiap serangan Aaron-Wooi Yik.
Selaku juara, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,700) berserta pingat manakala Aaron-Wooi Yik perpuas hati dengan AS$18,050 (RM76,300) dan pingat.
Kemenangan itu membolehkan Wei Chong-Kai Wun mencatat tiga kemenangan daripada lima pertemuan mereka setakat ini.
Kali terakhir kedua-dua beregu bertemu adalah di Masters Indonesia hujung Januari lalu dengan kemenangan memihak kepada Wei Chong-Kai Wun 21-18, 21-18 hanya dalam masa 31 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




