Tiket Fasa 1 FURY Championship Vol.II laris

Tiket Fasa 1 FURY Championship Vol.II laris

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bahang FURY Championship Vol. II semakin dirasai apabila jualan tiket Fasa 1 habis terjual dalam tempoh kurang daripada 10 minit selepas dibuka kepada umum, membuktikan keterujaan luar biasa peminat sukan tempur terhadap kejohanan yang bakal berlangsung di Karisma Arena pada 25 Julai 2026.

Sambutan memberangsangkan itu sekali gus meletakkan FURY Championship sebagai antara acara sukan tempur paling dinantikan di Malaysia tahun ini. Kejohanan edisi kedua ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peminat, selain menampilkan barisan petarung terbaik tempatan dan antarabangsa dalam satu malam penuh aksi berprestij.

Kemuncak kejohanan bakal menyaksikan perebutan gelaran sulung FURY Muay Thai Lightweight Championship, menyaksikan jaguh negara, Izat Zaki bakal berdepan pencabar antarabangsa, Brian Lawitan dalam pertarungan yang dijangka mencuri tumpuan peminat sukan tempur.

Selain pertarungan utama, peminat turut bakal disajikan dengan deretan aksi Muay Thai dan tinju profesional melibatkan petarung-petarung berkualiti dari dalam dan luar negara, menjadikan FURY Championship Vol. II sebagai platform terbaik untuk menyaksikan aksi bertaraf antarabangsa di Malaysia.

Bagi menghangatkan lagi suasana menjelang malam kemuncak, pihak penganjur turut mengadakan Ceremonial Weigh-In & Face Off pada 24 Julai 2026 di Arena Premier Boutique Hotel yang akan menghimpunkan semua petarung buat kali terakhir sebelum mereka memasuki gelanggang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Wafiy Ilham Johan, Fury Championship Vol. II bukan sahaja menjanjikan aksi pertarungan berintensiti tinggi, malah bertujuan mengangkat industri sukan tempur tempatan ke tahap lebih tinggi melalui penganjuran bertaraf profesional yang memenuhi standard antarabangsa.

Orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kejohanan ini secara langsung disarankan mendapatkan tiket Fasa seterusnya seawal mungkin memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Tiket boleh didapati melalui platform Wowtix, manakala siaran Pay-Per-View (PPV) boleh ditonton secara eksklusif menerusi Tonton.

Dengan rekod jualan tiket Fasa 1 yang habis terjual dalam masa kurang 10 minit, kehadiran barisan petarung elit tempatan dan antarabangsa serta perebutan gelaran pertama FURY Muay Thai Lightweight Championship, FURY Championship Vol. II diyakini bakal mencipta satu lagi sejarah sebagai antara acara sukan tempur paling berprestij di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top