KPM siasat isu murid dimalukan guru

KPM siasat isu murid dimalukan guru

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan sedang dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap video yang tular di media sosial mengenai seorang murid sekolah rendah yang didakwa dimalukan oleh guru di hadapan rakannya hingga memberi kesan emosi terhadap kanak-kanak itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, perkara itu amat dikesali lebih-lebih lagi rakaman berkenaan turut tersebar dan memberi impak besar kepada masyarakat.

“Guru sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa mengenai integriti dan etika sebagai penjawat awam walau apa jua isu yang terjadi.

“Saya juga yakin dan percaya bahawa ada ruang yang lebih selamat dan bersifat ‘privarcy’ untuk memastikan bahawa apa saja perbincangan dan isu dapat diselesaikan secara baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah, di sini, hari ini.

Koleksi komik tiga siri itu adalah hasil kerjasama strategik antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kelmarin, tular video murid sekolah rendah yang dimarahi oleh beberapa guru di kantin di mana murid berkenaan dipaksa untuk mengaku perkara yang tidak dilakukannya.

Video itu dirakam dan kemudian diberikan kepada ibu murid berkenaan.

Dalam pada itu, Fadlina berkata, pihaknya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan untuk memperhalusi perkara ini dengan lebih serius kerana ia membabitkan integriti dan etika guru.

“KPM juga sebenarnya sudah berkali-kali mengingatkan kepada guru yang juga penjawat awam mengenai garis panduan sedia ada dan mematuhi etika serta integriti baik di dalam kelas, luar kelas dan media sosial sekali pun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top