am@hmetro.com.my
Besut: “Terima kasih bagi peluang kedua kepada kami untuk membina semula kehidupan,” kata banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Azam (bukan nama sebenar).
Azam, 32, berasal dari Gua Musang, Kelantan baru dua bulan menjalani parol atau program pemulihan dalam komuniti di Pulau Perhentian, di sini.
Katanya, dia seronok dapat bekerja sebagai pembantu tukang masak kerana pernah mempunyai pengalaman bekerja di kedai makan sebelum ini.
“Saya rasa lebih enjoy, gembira kerana majikan juga layan dengan baik tanpa sebarang pilih kasih.
“Saya dapat belajar banyak perkara baru serta dapat membina semula keyakinan diri selepas melalui episod hitam dalam hidup,” katanya ketika ditemui di Pulau Perhentian Kecil, di sini, semalam.
Katanya, dia ditahan kerana memiliki bahan terlarang pada 28 Disember tahun lalu dan akan dibebaskan pada 9 Jun ini.
“Saya berazam tidak mahu lagi mengulangi kesilapan lalu sebaliknya mahu bekerja keras untuk menyara keluarga,” katanya.
Rakannya, Hasnol, 27, (bukan nama sebenar) yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkata, dia ditahan pada Oktober tahun lalu kerana mengambil barang terlarang.
“Jika diikutkan ini adalah kali keempat saya ditahan. Saya bersyukur kerana majikan beri kepercayaan serta peluang untuk menjalani latihan parol di sini,” katanya.
Katanya, dia berharap mampu untuk menjalani kehidupan seperti insan lain serta berubah menjadi lebih baik apabila dibebaskan pada 3 Ogos depan.
Sementara itu, pemilik Juita Glamping Perhentian Muhamad Fakrul Amin Mohd Taha, 33, berkata pihaknya menjalani kolaborasi dengan Jabatan Penjara Malaysia sejak Ogos tahun lalu.
“Setakat ini semua urusan berjalan lancar dan pasukan parol memberi komitmen sangat baik serta mematuhi segala garis panduan ditetapkan.
“Saya gembira kerana berpeluang melihat sendiri proses mereka berubah menjadi orang lebih baik sebelum dibebaskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




