hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas 160 karton minuman keras tidak bercukai sekali gus menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing di gudang di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 3 petang, semalam.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi dijalankan pihaknya melalui Unit Risikan Marin Pulau Pinang bersama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Tasek Gelugor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.
“Hasil pemeriksaan kami merampas 110 karton dan 50 karton minuman keras tidak bercukai dua jenama berbeza di gudang terbabit selain seunit alat kawalan jauh pintu pagar utama dengan nilai rampasan keseluruhan membabitkan RM103,804.80.
“Turut ditahan lelaki tempatan berusia 57 tahun dan lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun yang mengaku sebagai penjaga gudang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek diserah kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut, manakala barang rampasan diserah dan disimpan di Stor Barang Berpusat Seberang Perai Utara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd