Penyanyi popular, Datuk Nora Ariffin menjelaskan kenyataannya sebelum ini usai prosiding perbicaraan kes cerainya bersama suami, Dr Rushdi Ramli telah disalah ertikan.
Kata Nora, dia terkejut apabila suaminya itu menolak permohonan cerai yang telah difailkannya pada 19 Mac lalu dek kerana pada ketika itu dia telahpun bersedia untuk diceraikan.
“Saya tahu saya tak sepatutnya berkata sedemikian. Bila dia (suami) tolak permohonan untuk bercerai, saya terkejut.
“Itu sebenarnya bukan saya seronok. Bila wartawan interview ketika itu, ayat itu terkeluar secara spontan.
“Sebenarnya saya sudah bersedia 70 peratus untuk dilepaskan sebelum perbicaraan itu bermula,” katanya.
Perkara itu dikongsi Nora atau nama penuhnya, Wan Norafizah Ariffin, 52, ketika ditemui usai Pelancaran Muzik Video lagu anaknya Putri Dahlia berjudul ‘Aku Ada’ kolaborasi bersama penyanyi Zaki Yamani yang di adakan di IOI Mall, Puchong baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema ini mengakudia kini menjalani kehidupannya seperti biasa sementara menunggu prosiding kedua kes perceraiannya.
“Saya tak serabut sebab tahu apa akan jadi, tunggu tarikh sahaja.
“Dan, saya juga tidak akan menarik balik fail perceraian itu jadi tunggu saja tarikh dan langkah seterusnya,” jelasnya.
Terdahulu, Nora mengejutkan ramai pihak selepas hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April lalu bagi memfailkan permohonan cerai.
Sebelum pernikahan kali keduanya, Nora kehilangan suami tercinta iaitu komposer Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
Pada Disember 2021, Nora menerusi hantaran di media sosialnya mengesahkan dia sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM).




