am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pelantikan ketua bagi Masyarakat Rohingya Kelantan (MRK) di setiap daerah yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pelantikan itu dibuat oleh kumpulan etnik itu sendiri.
“Mereka pandai-pandai membuat lantikan sendiri. Ia seperti melantik ketua rombongan untuk pergi ke perkhemahan dalam hutan.
“Ini berikutan mereka tidak berdaftar. Tetapi jika dibiarkan, ia akan jadi bahaya kerana takut jadi macam kumpulan kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, untuk buat perhimpunan rasmi atau berkumpul sepatutnya perlu mengikut peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Mereka perlu memohon lesen dengan pihak polis bagi memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah iaitu paling kurang dalam tempoh lima hari sebelum perjumpaan dengan menyatakan masa dan tempat.
“Ketua Polis Daerah akan mengenakan syarat-syarat yang sesuai. Ketua Polis Daerah akan tampal makluman di premis sekitar jika ada bantahan awam. Sekiranya tidak ada bantahan mereka boleh berhimpun,” katanya.
Katanya, jika tiada makluman, ia menjadi satu kesalahan kerana akan mencurigakan orang awam.
Menurutnya, jika perhimpunan berbentuk keagamaan, perkahwinan, pengebumian dan perayaan, ia tidak perlu dimaklumkan.
Terdahulu, tular di Facebook yang menyaksikan kumpulan etnik Rohingya melantik ketua daerah masing-masing, malah diberikan sijil lantikan kepada ketua terpilih.
Situasi itu mengundang kebimbangan penduduk tempatan di Kelantan yang mendesak siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




