Putrajaya: Penahanan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa kenamaan dan VVIP susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) tidak dilakukan secara semberono hanya berdasarkan kes-kes lama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, menegaskan, satu jawatankuasa dilantik bukan sekadar meneliti laporan berkenaan malah siasatan terhadap isu TH yang pernah dijalankan SPRM.
Tegasnya, pegawai siasatan yang dilantik juga diberi arahan untuk menyiasat berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima sahaja dan ia dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan sahaja.
“Di peringkat SPRM, saya menubuhkan satu jawatankuasa iaitu bagi meneliti IP-IP (kertas siasatan) baharu, ataupun kertas siasatan lama yang tidak berkeputusan.
“Terdapat kertas siasatan yang sudah dibuka sebelum ini tetapi setakat hari ini (siasatan berlangsung) ia pending’… tiada keputusan dibuat.
“Jadi jawatankuasa ini akan menyaring dan meneliti kedudukan kertas siasatan (lama) itu termasuk yang belum mempunyai keputusan. Keputusan sama ada wajarkah ia dibuka semula akan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, kertas siasatan lama yang dibuka semula juga akan diteliti dari sudut perundangan khususnya membabitkan IP yang diberi status ‘No Further Action’ (NFA).
“Dalam tempoh seminggu ini, kita akan lihat sama ada jawatankuasa yang dilantik memberi keputusan untuk tindakan selanjutnya termasuklah pertuduhan di mahkamah. Jika tiada pertuduhan, maka tiadalah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


