Nik Nazmi pula umum letak jawatan berkuat kuasa 4 Julai ini

Nik Nazmi pula umum letak jawatan berkuat kuasa 4 Julai ini

izawan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 4 Julai ini.

Pengumuman itu kira-kira tiga jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini.

Nik Nazmi berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025. Sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023-Julai 2025), saya berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau sedar bahawa kedudukan sebagai Naib Presiden Keadilan antara pertimbangan utama dalam pelantikan ke Kabinet.

“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top