Pemandu 'bas pink' perlu tingkatkan kualiti pemanduan – Ab Rauf

Pemandu 'bas pink' perlu tingkatkan kualiti pemanduan – Ab Rauf

am@hmetro.com.my

Melaka: Syarikat konsesi yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti, Bas.my atau dikenali ‘Bas Pink’ diminta lebih bertanggungjawab dalam memastikan kualiti pemandu kenderaan awam itu dapat dipertingkatkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia susulan kejadian beberapa kemalangan yang membabitkan bas berkenaan dikatakan berpunca daripada kelalaian segelintir pemandu kenderaan itu.

Justeru, katanya, syarikat konsesi pengangkutan itu perlu lebih peka dengan situasi semasa berkenaan bagi memastikan kes kemalangan kenderaan awam dapat dielakkan.

“Kerajaan negeri tidak terbabit dalam aspek pemilihan pemandu atau apa-apa perkhidmatan bas berkenaan kerana kontrak kepada syarikat pengendali itu dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Serentak itu,, saya juga meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik untuk memberikan pendidikan yang lebih ketat supaya mereka (pemandu bas) lebih berdisiplin ketika bertugas.

“Saya memandang serius kemalangan yang berlaku kerana terbukti berlaku kelalaian dan ketidakcekapan pemandu. Walaupun difahamkan pemandu itu tidak mempunyai rekod buruk sebelum ini, namun disebabkan sedikit kealpaan, ia membawa maut” katanya.

Beliau selepas mengadakan perjumpaan bersama pemimpin tempatan masyarakat Cina bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut meninjau keadaan daif Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Bertam Ulu selain menyantuni murid serta guru sekolah berkenaan.

Dalam kejadian kelmarin, seorang pekerja subkontraktor maut selepas kereta dinaikinya yang berhenti di bahu jalan dirempuh sebuah bas henti-henti di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Sungai Petai, di sini kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top