Hong Kong: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata, pasukannya tidak boleh bersembunyi selepas mereka dicemuh ketika keluar padang selepas kekalahan di Malaysia, kelmarin.
Tiga hari selepas menamatkan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) terburuk mereka di tangga ke-15, pasukan Amorim memulakan jelajah Asia dengan kekalahan 0-1 kepada Asean All-Stars di Kuala Lumpur, dengan ramai daripada 72,000 penyokong meluahkan rasa tidak puas hati.
“Memang sukar untuk berdepan dengan penyokong di seluruh dunia (selepas musim yang teruk),” kata Amorim dalam sidang media pada Khamis, menjelang perlawanan persahabatan dengan Hong Kong, malam ini.
“(Tetapi) jelas, kami tidak boleh bersembunyi.
“Jika ada satu perkara yang benar-benar penting di kelab ini, kami perlu berdepan dengan penyokong ketika saat sebegini, dan memberikan sesuatu kepada penyokong kami di seluruh dunia. Kami mahu melakukannya, tetapi kadang-kadang ia sangat sukar.
“Kami tidak benar-benar fokus dalam perlawanan terakhir (pada Rabu), semua orang boleh merasakannya. Dalam situasi itu, saya faham perasaan penyokong dan pemain.”
Harry Maguire, Andre Onana dan Diogo Dalot tidak akan beraksi dalam perlawanan malam ini kerana mereka ke India untuk menghadiri acara penaja kelab.
Amorim turut mengesahkan Luke Shaw tidak akan bermain.
Matthijs de Ligt, Mason Mount dan Joshua Zirkzee tidak beraksi di Malaysia, tetapi jurulatih dari Portugal itu memaklumkan mereka berada dalam keadaan cergas sepenuhnya di Stadium Hong Kong untuk perlawanan terakhir jelajah itu.
“Sudah tentu pasukan keletihan kerana kami terbang ke Malaysia dan dengan kesan jet lag, kami bermain dalam keadaan yang sukar,” kata Amorim.
“Tetapi kami sudah bersedia untuk bermain semula dan sangat gembira berada di sini.”
Jurulatih Hong Kong, Ashley Westwood, bekas pemain akademi United menyatakan pasukan Amorim lebih gemar berehat selepas musim tamat berbanding bermain dan mengembara.
“Sejujurnya, tiada pemain yang mahu menjalani jelajah selepas musim tamat, mereka mahu pulih,” kata Westwood kepada wartawan. “Kebanyakan pemain Manchester United akan melapor diri untuk tugasan antarabangsa pada 2 Jun. Mereka mungkin tidak perlukan ini langsung.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




