Pearly-Thinaah perlu lebih berani 'smash'

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah perlu kembali berani melepaskan pukulan smash sebagai sebahagian daripada strategi permainan jika mahu terus dihormati dan kembali ke tahap terbaik, kata legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek.

Pemenang pingat gangsa Olimpik itu berkata, kecenderungan untuk mengurangkan serangan ketika berdepan lawan berpengalaman hanya akan menyebabkan corak permainan Pearly-Thinaah mudah dibaca, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak lawan.

“Apabila mereka sudah kurang tenaga, mereka tidak mahu smash dan hanya mahu bermain. Bagi saya itu bukan strategi. Dengan pemain yang ada pengalaman dan kuasa, suka atau tidak, mereka kena smash walaupun smash itu tidak kuat kerana ia sebahagian daripada strategi.

“Kalau tiada smash, lawan sudah boleh baca permainan kamu,” katanya ketika ditemui pada majlis MOU di Kompleks Beli-belah TRX, semalam.

Menurut Jalani, Pearly-Thinaah sebenarnya masih berada dalam kelompok beregu terbaik, namun perlu melakukan perubahan terutama dari segi pembahagian peranan dan corak serangan ketika berada di gelanggang.

“Bagi saya mereka masih ada di situ, tetapi mereka perlu buat perubahan seperti ketika mereka menang dahulu dan perbaiki semula perkongsian mereka,” katanya.

Jalani turut melihat Thinaah lebih banyak mengawal permainan dari bahagian belakang gelanggang, manakala Pearly dilihat lebih kerap melakukan kesilapan yang perlu segera diperbetulkan pasangan itu.

“Saya tengok Thinaah banyak mengawal permainan, tetapi Pearly pula banyak buat kesilapan. Jadi mereka perlu betulkan perkara itu dan cari punca kenapa ia boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemain juga perlu bekerja lebih keras ketika berada dalam fasa sukar kerana status mereka sebagai beregu utama negara menyebabkan setiap lawan kini lebih bersedia untuk menewaskan mereka.

“Mereka kena bekerja keras. Kalau tidak, mereka tidak akan mendapat penghormatan kerana semua orang boleh menewaskan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top