Operasi gempur sekitar Pasar Borong Selayang , 1,435 warga asing ditahan

Operasi gempur sekitar Pasar Borong Selayang , 1,435 warga asing ditahan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kawasan ‘panas’ di sekitar Pasar Borong Selayang di sini, yang dijajah warga asing digempur secara besar-besaran oleh pihak berkuasa, malam tadi.

Serbuan bermula 10.45 malam itu dijalankan sepasukan 560 pegawai dan anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pasukan bertindak menutup laluan di Selayang Utara itu yang dikenal pasti menjadi lokasi penempatan warga asing terbabit bagi mengelak mereka melarikan diri, sebelum menyerbu 225 unit premis perniagaan dan tempat penginapan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, tindakan tegas itu diambil susulan risikan selama dua minggu selepas menerima aduan mengenai lambakan warga asing di kawasan berkenaan.

“Dalam serbuan itu, beberapa warga asing yang cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun berjaya ditahan.

“Hasilnya seramai 1,435 warga asing termasuk 160 kanak-kanak berjaya ditahan sebelum kesemua mereka dikumpulkan di parkir untuk tujuan pemeriksaan dokumentasi.

“Mereka yang ditahan adalah 1,222 warga Myanmar terdiri daripada 702 lelaki, wanita (360) dan kanak-kanak (160); diikuti warga Bangladesh (142); India (9); Indonesia (4) manakala seorang Nepal,” katanya dalam sidang media sebaik selesai operasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Suzrin berkata, pemeriksaan mendapati kebanyakan ditahan adalah etnik Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Kita menyerahkan kepada pihak imigresen untuk membuat semakan mengenai kad UNHCR dimiliki mereka sama ada sahih atau palsu.

“Pihak imigresen memaklumkan terdapat kad UNHCR yang gagal dikenal pasti melalui mesin pengimbas dan pemegang kad akan dibawa ke pejabat JIM Putrajaya untuk semakan lanjut,” katanya.

Katanya, warga asing yang didapati melakukan kesalahan dibawa ke pejabat JIM Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c); Seksyen 55(B); Seksyen 15 (1)(c); Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kata beliau, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas majikan yang didapati menggajikan pekerja asing tanpa permit sah dan individu yang disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin.

Selain itu, Mohamad Suzrin berkata, pihak DBKL, Span dan ST turut mengesan berlaku pengubahsuaian premis penginapan tanpa kebenaran selain penyambungan bekalan elektrik serta air secara haram.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Bekalan Elektrik, Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655), Undang-Undang Kecil (WPKL), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top