LATEST

MERCY Malaysia tiba di kawasan malapetaka banjir Nepal

MERCY Malaysia tiba di kawasan malapetaka banjir Nepal

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan Penilaian Pantas MERCY Malaysia kini berada di kawasan terjejas banjir di Nepal bagi menilai kemusnahan serta mengenal pasti keperluan kesihatan penduduk susulan kejadian banjir kilat dahsyat melanda negara itu.

Baca juga: Amanah akan hadapi PRU16 tanpa kerjasama BN – Khalid

Organisasi kemanusiaan berkenaan memaklumkan pasukannya kini berada di Trishuli Dhunge Bazar, Bidur, bagi menilai tahap kemusnahan dan mengenal pasti keperluan kesihatan masyarakat yang terjejas.

Penempatan pasukan itu dilakukan kira-kira seminggu selepas banjir kilat melanda beberapa kawasan Nepal, dan meninggalkan kemusnahan besar termasuk kediaman, jalan raya dan kemudahan awam.

“Situasi kecemasan akibat banjir kilat dahsyat di Nepal masih belum berakhir,” kata MERCY Malaysia menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Menurutnya, Pasukan Penilaian Pantas itu turut menilai tahap akses penduduk kepada perkhidmatan kesihatan asas, selain mengenal pasti jurang bantuan yang memerlukan sokongan kemanusiaan tambahan.

“Penemuan ini akan membantu menentukan langkah seterusnya MERCY Malaysia serta mengenal pasti ruang terbaik untuk kami melengkapkan usaha tindak balas yang sedang dijalankan,” katanya.

MERCY Malaysia berkata, misi pasukan berkenaan sebelum ini bermula di Kathmandu dengan mengadakan pertemuan penyelarasan bersama Kedutaan Malaysia.

Katanya, kedutaan itu menjadi titik hubungan utama bagi misi kemanusiaan MERCY Malaysia di luar negara, selain berperanan sebagai rakan penting dalam penyelarasan dengan pihak berkuasa dan organisasi berkaitan.

Pasukan berkenaan kemudiannya bergerak ke kawasan yang dianggap sebagai ‘titik sifar’ bencana bagi menilai kesan banjir, menentukan keperluan kesihatan yang perlu diberi keutamaan serta mengenal pasti kekurangan dalam operasi bantuan yang sedang berlangsung.

Menurut MERCY Malaysia, hasil penilaian itu akan menentukan bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi melengkapkan usaha bantuan tempatan, khususnya dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk.

Gambar yang dikongsi organisasi itu turut memberikan gambaran jelas mengenai skala kemusnahan yang dihadapi pasukan penilaian.

Lapisan lumpur, kelodak, batu dan serpihan tebal dilihat menutupi kawasan yang luas, termasuk jalan raya serta ruang di antara kediaman penduduk.

Beberapa bangunan turut mengalami kerosakan teruk, dengan sebahagian tingkat bawah dan asas bangunan terdedah selepas dihentam arus banjir yang deras.

Dalam satu gambar, pokok yang tumbang bersama batang kayu besar dilihat menghempap struktur bangunan yang rosak, manakala anggota memakai jaket keselamatan membawa barangan bantuan meredah timbunan serpihan.

Gambar lain menunjukkan kediaman penduduk dikelilingi lumpur dan runtuhan, sementara jentera berat digunakan bagi membersihkan serpihan yang menutupi laluan utama penempatan berkenaan.

Satu lagi imej memperlihatkan jalan raya hampir sepenuhnya ditenggelami timbunan lumpur dan batu, sekali gus menggambarkan kesukaran yang dihadapi penduduk serta petugas bantuan untuk bergerak di kawasan terbabit.

Kesan kekuatan bencana turut jelas pada struktur bangunan apabila bahagian dinding bata dan beberapa komponen bangunan mengalami kerosakan teruk, terutama berhampiran laluan air yang dilanda banjir.

Anggota MERCY Malaysia turut dilihat berjalan kaki meninjau kawasan yang musnah sambil menilai tahap kerosakan bagi menentukan bentuk bantuan yang diperlukan dalam fasa seterusnya operasi kemanusiaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news