London: United Kingdom (UK) menandatangani perjanjian bernilai 3.4 bilion pound sterling (kira-kira RM19.4 bilion) untuk menyerahkan kedaulatan Kepulauan Chagos kepada Mauritius, namun tetap mengekalkan kawalan terhadap pangkalan tentera bersama UK – Amerika Syarikat (AS) di Diego Garcia, lapor BBC.
Perjanjian pajakan Diego Garcia selama 99 tahun dan secara bundar akan menelan kos sebanyak 101 juta pound sterling (kira-kira RM577 juta) setahun, yang menurut Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, langkah itu penting untuk melindungi kepentingan strategik daripada ‘pengaruh jahat’.
Sementara itu, Perdana Menteri Mauritius, Navin Ramgoolam menyifatkan perjanjian bersejarah itu sebagai melengkapkan ‘proses penyahjajahan sepenuhnya’ selepas perjuangan selama lebih enam dekad.
Kepulauan Chagos, secara rasminya dikenali sebagai Wilayah Lautan Hindi British, terdiri daripada tujuh lagun-pulau dan kira-kira 60 pulau kecil, terletak lebih 9,000 kilometer (km) dari UK dan 2,000 km dari Mauritius.
Ia dipisahkan dari Mauritius pada 1965 ketika negara itu masih di bawah penjajahan British dan dijual kepada UK dengan harga 3 juta pound sterling (RM17.1 juta), namun Mauritius mendakwa dipaksa menyerahkan wilayah itu sebagai syarat kemerdekaan.
Pada penghujung 1960-an, UK membenarkan AS membina pangkalan tentera di Diego Garcia dan ribuan penduduk asal dipaksa keluar dari pulau itu.
Penduduk asal yang diusir itu kemudian ditempatkan semula di Mauritius, Seychelles dan UK, terutama di Crawley, West Sussex.
Berdasarkan perjanjian baharu, Mauritius diberikan kedaulatan ke atas gugusan Chagos, namun Diego Garcia akan terus dipajak kepada UK selama 99 tahun.
Bayaran sebanyak 165 juta pound sterling (kira-kira RM942 juta) setahun akan dibuat bagi tiga tahun pertama, kemudian dikurangkan kepada 120 juta pound sterling (kira-kira RM685 juta) untuk 10 tahun seterusnya dan selepas itu diselaraskan mengikut inflasi.
AS akan menanggung kos operasi pangkalan dan perjanjian turut membabitkan dana amanah 40 juta pound sterling (kira-kira RM228 juta) bagi membantu komuniti Chagossian yang terkesan.
Bagaimanapun, Mauritius tidak dibenarkan menempatkan semula penduduk di Diego Garcia.
Pangkalan tentera Diego Garcia yang dibina sejak awal 1970-an disifatkan penting kerana lokasinya di tengah Lautan Hindi.
Ia digunakan untuk operasi ketenteraan termasuk ketika ‘perang terhadap keganasan’ oleh AS selepas serangan 11 September.
© New Straits Times Press (M) Bhd




