Penganggur didenda kerana promosi, jual video lucah

Penganggur didenda kerana promosi, jual video lucah

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Padah mempromosi dan menjual video lucah melalui Telegram, seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ammar Azaruddin, 26, selepas dia mengaku bersalah menjual video lucah dan pautan kepada video itu dilihat di Pejabat Bahagian D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dekat sini, pada 9.15 malam, 9 April lalu.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu Inspektor Al Amin Zainuddin membuka satu laman sesawang yang kemudiannya membawa kepada akaun Telegram milik tertuduh.

Hasil siasatan mendapati terdapat pelbagai kandungan lucah yang ditawarkan dengan bayaran tertentu dan promosi turut dibuat untuk menarik orang ramai membeli dan memuat turun kandungan itu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor tertuduh mengaut keuntungan daripada perbuatan itu.

“Denda sahaja tidak akan memberi impak besar kepada tertuduh. Mahkamah harus mengenakan hukuman berat yang boleh menjadi pengajaran,” katanya.

Peguam Siti Sumaiyyah Ahmad Jaafar dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama di masa akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top