FFP pastikan tiada lagi isu gaji tertunggak berulang

FFP pastikan tiada lagi isu gaji tertunggak berulang

sukan@hmetro.com.my

Kelana Jaya: Jika tiada aral melintang saingan Liga Super musim depan mungkin bersih daripada masalah kewangan termasuklah isu tunggakan gaji yang sering membelenggu barisan pemain dan kakitangan pasukan.

Keyakinan itu disuarakan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan yang melihat pelaksanaan peraturan Peraturan Kewangan Adil (FFP) dan kesedaran kelab yang perlu berbelanja dengan mengukur badan sendiri membolehkan masalah kewangan dapat diatasi secara lebih optimum.

Beliau berkata, pasukan Liga Malaysia (Liga M) juga sudah didedahkan secara menyeluruh mengenai perbelanjaan secara sistematik termasuklah tidak terlalu taksub untuk membeli pemain import hingga menjerat pasukan pada masa akan datang.

Malah, MFL juga berbelanja besar dengan membeli perisian yang mampu mengesan seterusnya menyekat jika pasukan terbabit cuba berbelanja melebihi bajet mereka.

“MFL berbelanja untuk membeli perisian jika guna sistem sampai had akan lock(sekat). Seperti kita katakan dari awal, pengistiharan itu penting iaitu membabitkan bajet pasukan.

“Insya-Allah, saya yakin dan percaya boleh dan tak ada masalah. Saya sudah katakan kepada kelab mengenai perbelanjaan mereka,” katanya ketika dalam sidang media selepas mesyuarat bersama persatuan bola sepak negeri (FA) dan perjumpaan kelab (FC) di Wisma FAM, hari ini.

Liga Malaysia kini berwajah baharu dengan pelaksanaan penuh FFP yang mengehadkan perbelanjaan gaji kelab kepada maksimum 80 peratus daripada bajet tahunan mereka bagi musim 2025-2026.

Langkah drastik Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu dilihat sebagai usaha mengelak kelab ‘makan diri’ akibat berbelanja melebihi kemampuan sekali gus memastikan pembayaran gaji berjalan lancar dan aliran tunai pasukan kekal sihat.

Pelaksanaan FFP yang diperkenalkan musim lalu kini dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menanam budaya tanggungjawab kewangan dan ketelusan, selain memastikan kelab lebih profesional dari segi pengurusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top