am@hmetro.com.my
Sempena ulang tahun TV3 ke-41, Media Prima Berhad (MPB) memperkenalkan sembilan wajah baharu penyampai berita yang turut bertugas sebagai wartawan dan pasukan penerbitan.
Mereka ialah Douglas Elliot David, Hirsham Azmi, Asyiha Ariffin, Deerina Sheikh Faisal, Izabelle Choong, Vinsla Santiran, Fahmi Tajuddin, Izzati Nizam dan Afrina Romzi yang mula bertugas di Buletin Pagi, Buletin 1.30 dan Buletin Utama bermula esok.
Penerbit Eksekutif Kanan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, Mior Abdul Malek Raiyani berkata, Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa komited ingin melahirkan wajah baharu dan segar di televisyen, selain mencipta pelapis berwibawa dunia penyiaran.
“Kami menerima hampir 800 penyertaan dari seluruh negara, dengan peringkat kedua hanya memilih 30 orang bagi dilakukan saringan hingga mendapat 10 terbaik. Namun, kemudian lima orang yang terpilih.
“Mereka dipilih itu terdiri dari pelbagai latar belakang, namun digabungkan dalam satu sesi latihan berterusan seperti ‘mock run’ untuk menggilap bakat dan potensi serta melalui program Mentor Mentee Bilik Berita dikendalikan oleh Norliza Mohd Zain, Azwaliza Azman dan Pang Chinn Fei.
“Kami juga lihat komitmen dan prestasi semasa mereka menerusi perkembangan serta potensi berbeza. Keputusan ini dibuat atas kesepakatan pihak pengurusan tertinggi melalui pembentangan hasil latihan yang sudah dijalankan,” katanya.
Menurut Malek, penilaian berdasarkan pakej lengkap dimiliki yang bukan sekadar rupa paras dan gaya visual semata-mata, namun kemahiran sedia ada seperti pengacaraan dan penghasilan kandungan.
“Kami tetap mencari pakej yang mereka miliki dari segi penampilan, kemahiran, potensi dan bakat semula jadi dalam diri juga dinilai. Kami tengok apa potensi dan ‘selling point’ yang boleh digilap.
“Bagaimanapun, visual yang menarik perhatian sangat penting kerana kami tidak hanya melihat penampilan wajah, tetapi nilai tambah serta kemahiran lain yang ada seperti bakat penyampaian, laporan di lapangan dan penghasilan kandungan,” katanya.
Menurut Malek, wajah baharu penyampai berita yang dipilih berkenaan bukan sekadar dilatih dari segi penyampaian (baca berita), tetapi juga meningkatkan asas penampilan, ekspresi, intonasi dan ‘x-factor’ supaya berita disampaikan berkesan kepada penonton.
Sementara itu, Izabelle yang akan bertugas di Buletin Pagi berkata, dia ingin menjadi penyampai berita berjaya seperti idolanya, Azaria Tagaya.
“Saya belajar bidang perniagaan ketika di universiti dulu dan kini dapat peluang menyertai TV3 adalah rezeki selepas tekad mencuba nasib untuk bergelar penyampai berita,” katanya.
Bagi penyampai berita Buletin Pagi, Asyiha pula menyifatkan rezeki dapat berkhidmat di TV3 adalah titik tertinggi pencapaian dirinya kerana impian itu sudah disimpan sejak dua dekad lalu.
“Pada mulanya, saya rasa mustahil untuk terpilih sebagai wajah baharu ini. Tapi, tak sangka ada rezeki juga kerana impian ini sudah saya simpan sangat lama kira-kira 20 tahun dan ia tidak pernah padam,” akuinya.
Penyampai berita Buletin Utama, Izzati berkata, dia sudah meminati kerjaya penyampai berita sejak kecil kerana suka menonjolkan dirinya ke hadapan dengan menyertai pertandingan dan uji bakat.
“Ini adalah antara doa ibu yang inginkan saya menjadi pembaca berita sejak dari dulu. Saya tidak menyesal pilih kerjaya ini kerana sudah lama juga menunggu peluang,” katanya.
Vinsla yang akan bertugas di Buletin Utama berkata, dia menginginkan menjadi penyampai berita untuk bahasa Melayu di TV3 sejak dulu.
“Walaupun saya ada rasa gugup ketika menyampaikan berita, tetapi ini impian saya. Jadi, sebelum mulakan baca berita di tempat kerja terdahulu, saya pasti menonton Buletin TV3 untuk dapatkan aura,” katanya.
Bagi Douglas, dia akan berusaha memberi yang terbaik dalam tugas membaca berita digalasnya untuk Buletin Utama menerusi pengalaman yang ada.
“Selain minat terhadap kerjaya dalam bidang penyiaran, saya juga dapati cabaran dalam kerjaya penyampai berita sekarang sangat mencabar dengan pengaruh media sosial. Jadi, kita kena pantas,” katanya.
Hirsham yang membaca berita di Buletin Pagi memaklumkan peluang menyertai TV3 sebagai salah seorang kakitangan baharu sangat dihargainya kerana bukan mudah diperoleh.
“Saya akan bersungguh-sungguh memastikan tugas membaca berita yang digalas dapat dilakukan dengan baik berikutan ini bidang kerjaya yang saya minat dan pilih,” katanya.
Deerina pula memaklumkan dirinya kini sudah bersedia untuk terus menimba pengalaman bertugas di Buletin Pagi.
Katanya, dia gembira dan teruja kerana mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan keluarga yang merestui setiap keputusan dibuatnya untuk kerjaya.
Menurut Fahmi, peluangnya membaca berita di Buletin Utama nanti adalah slot berita yang sememangnya didapati mempunyai banyak penonton setiap malam.
“Jadi, saya kena betul-betul mempersiapkan diri dengan tenang dan sekali gus boleh membaca berita sebaik mungkin dan kesannya sampai kepada penonton,” jelasnya.
Afrina yang membaca berita di Buletin 1.30 menganggap kerjaya sebagai penyampai berita bukan mahu mencari populariti semata-mata tetapi ia adalah tanggungjawab.
“Menerusi berita semasa yang disampaikan itu sebenarnya kita juga membantu mewakili suara rakyat Malaysia terhadap tanah air tercinta ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
