KUALA TERENGGANU: Seramai 110 petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu digerakkan bagi memantau pelaksanaan ibadah korban di seluruh negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, minggu depan.
Pengarah JPV Terengganu, Dr. Anun Man berkata, pemantauan itu ditumpukan di lokasi penyembelihan melibatkan 40 ekor ternakan ke atas pada satu-satu masa.
Katanya, langkah tersebut bagi memastikan semua proses penyembelihan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan mengikut carta aliran kerja yang dikeluarkan bagi mengelak risiko jangkitan penyakit haiwan.
“Setiap tahun kita keluarkan antara 6,000 hingga 7,000 permit penyembelihan dan petugas JPV memberi fokus di tempat jumlah penyembelihan besar seperti masjid, surau, padang awam dan balai raya,” katanya hari ini.
Dr. Anun berkata, JPV Terengganu sedang melaksanakan Op Mega bagi membanteras aktiviti pemindahan dan penyembelihan haram ternakan pada Aidiladha ini bermula 9 Mei lalu hingga 8 Jun ini. – UTUSAN