“Dia terus hilang tanpa khabar, tapi saya percaya Azar cuma perlukan ruang untuk diri sendiri,”
Demikian respons pelakon, Hafreez Adam mengenai rakan baiknya, Azar Azmi, yang dikatakan menghilang dari radar dunia seni sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Hafreez atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan, 34, kali terakhir dia berhubung dengan Azar adalah sekitar tahun 2021 atau 2022.
“Kali terakhir saya hubungi dia sekitar tahun 2021 atau 2022. Sejak itu, langsung tiada balasan. Saya masih cuba hubungi dia, tapi mesej tak berjawab.
“Saya faham, mungkin dia perlukan masa dan ruang untuk dirinya sendiri,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Gantung: Musketeer Code di GSC Mid Valley, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Hafreez tidak menolak kemungkinan tekanan dunia hiburan menjadi antara punca Azar memilih untuk menyepi.
“Bukan semua orang mampu bertahan dalam dunia hiburan yang penuh tekanan. Mungkin selepas beberapa tahun, dia rasa dunia ini bukan untuknya. Jadi dia ambil keputusan menjauh buat sementara,” katanya.
Baginya, tindakan Azar itu bukanlah tanda menyerah, sebaliknya mungkin hanya sebuah ‘rehat seketika’.
“Tak semestinya dia ‘fade up’ atau putus asa. Mungkin dia cuma perlukan rehat… ruang untuk bernafas. Kita pun tak tahu bila dia akan kembali, tapi kalau dia sudi, kami pasti sambut dengan tangan terbuka,” katanya lagi.
Walaupun hubungan mereka kini terputus buat sementara, Hafreez tetap mendoakan kesejahteraan sahabatnya itu.
“Paling penting, kita doakan yang baik-baik saja untuk dia. Kalau suatu hari nanti dia mahu kembali, sebagai kawan dan peminat, saya akan sokong penuh. Harapnya dia okey, di mana pun dia berada sekarang,” katanya lagi.
Sebelum ini, individu dipercayai anak buah kepada Azar menepis dakwaan selebriti itu telah berkahwin selain enggan terbabit dalam industri hiburan lagi.
Artikel Berkaitan: Anak Saudara Tepis Dakwaan Azar Azmi Dah Berkahwin, Mahu ‘Resign’ Jadi Pelakon? – “Hidup Sangat Privasi, Ahli Keluarga Tak Tahu Dia Buat Apa”



