am@hmetro.com.my
Kuantan: Keprihatinan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah apabila sanggup turun daripada kenderaan untuk membantu mangsa kemalangan di Jalan Teluk Sisek di sini, hari ini.
Berdasarkan maklumat yang dimuat naik di Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini, ketika itu baginda dalam perjalanan dari bermain padel di sebuah hotel di sini jam 6.55 petang.
“Kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta, yang mana penunggang motosikal, Hadzirul Zazlin Mahadzir, 27, terbaring kesakitan akibat cedera di kaki dan tangan.
“Baginda segera menenangkan mangsa dengan menitipkan nasihat dan meminta pengawal pengiring menghubungi ambulans.
“Bersabar, istighfar banyak-banyak dan ingat Allah SWT,” demikian titah baginda supaya mangsa kemalangan tidak panik dan mengurangkan kesakitan.
Baginda bukan sahaja mengurniakan sumbangan peribadi, malah sanggup menunggu sehingga bantuan sampai dan memastikan mangsa dibawa hospital untuk menerima rawatan segera.
Hadzirul dari Indera Mahkota, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




