70 guru tamat latihan Karisma 

70 guru tamat latihan Karisma 

PETALING JAYA: Seramai 70 guru dari seluruh negara berjaya menamatkan latihan kecerdasan emosi menerusi Program Guru Karakter Inspirasi Masyarakat (Karisma), yang bertujuan membentuk hubungan lebih kukuh antara guru dan murid melalui pembangunan emosi dan empati.

Pengarah program, Alina Amir berkata, program ini menyediakan strategi praktikal untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang bermakna.

Katanya, latihan pembiayaan penuh Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan itu menggabungkan bengkel bersama pakar, pameran aktiviti bilik darjah dan perbincangan panel yang memfokuskan pendidikan holistik.

“Program Guru Karisma ini menyediakan para guru dengan alatan dan penetapan minda untuk mencipta suasana pembelajaran yang bermakna,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kemuncak program disempurnakan menerusi Sidang Guru Kemuncak Karisma 2025 yang menghimpunkan 300 pendidik termasuk 70 peserta terlatih dalam sidang peringkat kebangsaan selama sehari.

Sidang itu menampilkan lebih 125 aktiviti bilik darjah dan 70 projek penyelidikan tindakan oleh kohort pertama Karisma.

Alina berkata, guru didedahkan dengan kaedah mengintegrasikan Pendidikan Karakter dan Pembelajaran Sosial dan Emosi (SEL) dalam pengajaran subjek akademik.

Menurutnya, pendekatan ini sejajar dengan matlamat Kurikulum 2027 yang menekankan pembentukan murid berdaya emosi, berpandangan nilai dan berakhlak.

“Kurikulum baharu ini mengubah peranan guru daripada sekadar menyampaikan ilmu kepada pembina karakter pelajar masa depan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top