fadhli.ishak@nst.com.my
Kuala Lumpur: Acara keirin kekal menjadi sasaran utama jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, namun legenda berusia 38 tahun itu turut berpeluang menghadiahkan pingat bonus menerusi acara ujian masa 1 kilometer pada Sukan Komanwel Glasgow.
Azizul dijadual memulakan cabaran dalam acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy pada 31 Julai, diikuti pecut individu (1 Ogos) sebelum beraksi dalam acara ujian masa 1 kilometer pada 2 Ogos.
Bekas juara dunia keirin itu sudah lebih sedekad tidak beraksi dalam acara ujian masa di kejohanan utama.
Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley, berkata peluang Azizul untuk mencabar pingat dalam acara itu bergantung kepada tahap kesegaran fizikalnya selepas mengharungi dua acara terdahulu.
“Kami meletakkan semua harapan dalam acara keirin, tetapi Azizul juga akan mencuba nasib dalam acara kilo pada hari terakhir pertandingan.
“Jika Azizul mara jauh dalam acara pecut individu, saya rasa peluangnya dalam acara kilo agak tipis.
“Tetapi jika dia tidak pergi jauh dalam pecut individu, dia mampu memberikan saingan sengit dalam acara ujian masa.
“Dia pasti mampu mencatat masa sekitar seminit. Sama ada cukup pantas untuk menang atau tidak, saya tidak pasti.
“Jika dia berjaya mencatat masa bawah seminit yang saya percaya mampu dilakukannya, saya yakin dia akan berada di podium. Namun, dia perlu memecahkan rekod kebangsaan untuk mencapainya.
“Apapun, Azizul ialah Azizul. Dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa pada hari pertandingan. Ketika ini dia berada dalam keadaan terbaik, jadi kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku,” kata Beasley.
Rekod kebangsaan acara ujian masa 1 kilometer kini dipegang Fadhil Zonis menerusi catatan 1 minit 0.305 saat, yang dilakukan pada Kejohanan Dunia di Berlin pada 2020.
Pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, pelumba Australia yang kini sudah bersara, Matthew Glaetzer, memenangi emas dengan catatan 59.505 saat, diikuti rakan senegaranya Thomas Cornish (1:00.036s) dan pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul (1:00.089s).
Azizul sebelum ini memenangi emas acara ujian masa pada Kejohanan Kebangsaan di Nilai bulan lalu dengan catatan 1:01.134 saat, meskipun ketika itu belum mencapai tahap prestasi terbaik.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak beraksi di Birmingham 2022 kerana masih menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka bagi membetulkan masalah anomali arteri koronari yang dihidapinya sejak lahir.
Namun, Azizul membuktikan dia masih antara pelumba terbaik dunia apabila meraih dua pingat emas keirin dan dua gangsa pecut individu dalam siri Piala Dunia UCI awal tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




