Seoul: Kapten Korea Selatan, Son Heung-min akan digunakan secara berhemah dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Iraq dan Kuwait ketika dia sedang membina semula tahap kecergasan selepas pulih daripada kecederaan kaki, kata jurulatih Hong Myung-bo pada Isnin.
Korea Selatan, yang mendahului Kumpulan B dengan kelebihan tiga mata, akan menentang Iraq di Basra pada 5 Jun sebelum pulang ke tanah air bagi aksi kelayakan terakhir pusingan ketiga menentang Kuwait lima hari kemudian.
Korea akan layak ke Piala Dunia buat kali ke-11 berturut-turut sekiranya mereka mengelak menang ke atas Iraq, yang bulan lalu melantik bekas jurulatih Australia, Graham Arnold sebagai ketua jurulatih mereka.
Son bergelut dengan kecederaan itu sejak dua bulan lalu dan hanya diturunkan sebagai pemain gantian ketika Tottenham Hotspur menang 1-0 ke atas Manchester United dalam aksi final Liga Europa.
“Dia dan saya masih belum berbincang secara khusus mengenai berapa banyak masa permainan yang akan diberikan kepadanya. Namun, saya dan barisan kejurulatihan sudah sedia maklum tentang semangat serta keinginannya untuk bermain.
“Memandangkan kami mempunyai dua perlawanan akan datang (bagi usaha kelayakan ke Piala Dunia), saya tidak akan memaksanya. Selepas kami tiba di Iraq, barulah kami akan tentukan perlawanan mana yang akan menjadi keutamaan,” kata Hong.
Jurulatih berusia 56 tahun itu berkata, pengalaman Son amat berharga di Iraq meskipun dia tidak diturunkan.
“Kami mungkin akan beraksi dalam suasana yang tegang di hadapan penyokong fanatik tuan rumah.
“Kami mempunyai beberapa pemain yang berpengalaman beraksi dalam situasi sebegitu. Itu sesuatu yang perlu diambil kira apabila melangkah masuk ke stadium untuk perlawanan ini,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




