Pertolongan tak disangka, pelanggan wanita jadi jurubahasa di gerai durian

Pertolongan tak disangka, pelanggan wanita jadi jurubahasa di gerai durian

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kepala Batas: “Sebelum ini, saya guna ‘Google translate’ saja kalau berurusniaga dengan pelancong yang tak faham bahasa Inggeris.

“Tapi rezeki saya tempoh hari, pelanggan itu datang ke gerai dan bantu mudahkan saya berurusan dengan pelancong berkenaan”.

Itu kata peniaga durian, Mohamad Amin Rosli, 34, mengenai kisahnya dibantu pelanggan wanita untuk berurusan dengan sekumpulan pelancong dari China yang datang ke gerainya baru-baru ini.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Mohamad Amin berkongsi video di TikTok yang menunjukkan wanita itu lancar berbahasa Mandarin dan sehingga kini meraih lebih 1.5 juta tontonan.

Berkongsi kisahnya, Mohamad Amin, 34, berkata, video itu dirakam pada Sabtu lalu.

“Waktu itu, pelancong China datang dan kebetulan, pelanggan wanita berkenaan pun ada di gerai saya.

“Saya tak minta bantuannya tapi dia dengan sukarela bantu dan waktu itu baru tahu pelanggan berkenaan pandai cakap Mandarin.

“Sebagai peniaga, saya bersyukur sangat kerana secara tak langsung pelanggan wanita itu bantu saya berurusniaga dengan pelancong China kerana mereka tak boleh dan tak faham bahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Amin berkata, dia sekadar berkongsi video berkenaan di TikTok sebagai kenangan.

“Selepas kongsi video itu, saya tak tengok TikTok dan semalam, baru buka.

“Tak sangka video itu mencecah tontonan tinggi sampai tular hingga ramai yang komen.

“Saya anggap ia rezeki kerana memang ada niat nak promosikan gerai kerana sekarang musim durian dan akan berniaga sampai hujung Julai nanti.

“Diharap ramai datang ke gerai kerana saya pun berniaga setahun sekali saja memandangkan ada kerja hakiki sebagai pegawai bank,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top