am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Lelaki warga emas cedera apabila kereta Perodua Myvi dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas merempuh warung makanan di Jalan Pantai Belimbing, Durian Tunggal, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.55 petang itu pemandu berusia 80 tahun yang juga pesara polis terselamat dan hanya mengalami bengkak di kepala dipercayai akibat terhantuk.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan mendapati mangsa yang memandu sendirian dalam perjalanan ke Taman Melaka Perdana.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu warga emas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebuah warung di tempat kejadian.
“Ketika itu warung berkenaan masih dibuka, namun mujur tiada tiada peniaga dan pelanggan berada di dalam premis.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami bengkak di kepala selain kerosakan pada kereta dan hadapan kedai akibat rempuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dan satu laporan dibuat pemilik warung berusia 53 tahun.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Dalam perkembangan sama, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, seramai empat anggotanya digegaskan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Beliau berkata, sebaik tiba, didapati sebuah kereta terperosok di dalam warung dan dihempap bumbung yang runtuh.
“Mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan anggota memberikan rawatan awal kepada mangsa yang bengkak di dahi dan menenangkannya yang kelihatan trauma.
“Lelaki itu kemudian dibawa dengan ambulans APM untuk rawatan lanjut,” katanya dihubungi di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd