Aizat Amdan kongsi pemergian abang sulung, mohon urusan dipermudah

Aizat Amdan kongsi pemergian abang sulung, mohon urusan dipermudah

opie@hmetro.com.my

Ampang: Penyanyi, Aizat Amdan yang berkongsi pemergian abang sulungnya, Muhammad Amir Amdan, 45, petang semalam memaklumkan jenazah arwah masih berada di Hospital Ampang, di sini, bagi urusan bedah siasat.

Menerusi hantaran di Instagram Story hari ini, Aizat berkata, proses bedah siasat dijangka dijalankan kira-kira jam 8 pagi ini sebelum jenazah dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa.

“Assalamualaikum. Buat masa sekarang, jenazah Amir sedang berada di Hospital Ampang. Doktor akan menjalankan post mortem pada pukul 8 pagi esok (hari ini).

“Selesai saja post mortem, jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa. Solat jenazah akan dilakukan selepas solat Jumaat,” katanya.

Menurutnya, jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana.

“Sekiranya ada sebarang update lanjut, kami akan maklumkan dari semasa ke semasa. Terima kasih atas doa dan urusan semua,” kata hantaran itu.

Semalam, Aizat bergegas pulang sejurus menerima khabar duka berkenaan ketika menghadiri sidang media mempromosikan single terbaharunya bersama kumpulan SOG berjudul Ajar Aku di The Campus, di sini.

Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari, namun punca kematian tidak dimaklumkan.

Aizat kemudian berkongsi berita pemergian itu menerusi hantaran di Instagram miliknya beberapa jam selepas kejadian.

Beliau turut meminta orang ramai mensedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top