57,779 banduan dibebaskan di bawah program PBSL sejak 2020

57,779 banduan dibebaskan di bawah program PBSL sejak 2020

am@hmetro.com.my

Bentong: Seramai 57,779 banduan dibebaskan seluruh negara menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dalam tempoh lima tahun sejak 2020.

Ia merangkumi jumlah teramai pelepasan banduan pada tahun lalu membabitkan seramai 20,578 banduan diikuti 15,180 (2023) (15,180), 8,412, (2022), 3,517 (2021) dan 1,938 pada 2020.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Awang berkata, setiap tahun program PBSL dilaksanakan membabitkan banduan yang terbabit dengan pelbagai kesalahan antaranya seperti penagihan dadah, mencuri, merompak, samun dan gagal membayar denda.

Katanya, inisiatif terbaharu dilakukan jabatan ialah membebaskan banduan terdiri daripada golongan rentan dan wanita mengandung yang layak serta memenuhi syarat ditetapkan selepas melalui pertimbangan serta kelulusan Jawatankuasa PBSL.

Menurutnya, pihaknya turut mengadakan program pemulihan dalam komuniti untuk banduan yang layak bertujuan memperluaskan konsep ‘Restorative Justice’ berbanding ‘Punitive Justice’ dalam sistem kepenjaraan di negara ini.

“Inisiatif program ini menjadi semakin penting dalam memberi peluang kedua kepada banduan serta proses integrasi banduan ke dalam masyarakat, seterusnya mencapai matlamat dua pertiga banduan yang layak menjalani program pemulihan dalam komuniti menjelang 2030.

“Sejak Januari tahun lalu hingga bulan lalu seramai 67 dicalonkan untuk dibebaskan di bawah program PBSL namun 57 sahaja yang dibebaskan,” katanya pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani 2025 sempena Hari Raya Aidiladha di Dewan Perdana Penjara Bentong, di sini hari ini.

Ahmad Faudzi berkata, pada program PBSL Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidiladha kali ini seramai 555 banduan seluruh negara dibebaskan termasuk 54 banduan dari Penjara Bentong dan Penjara Penor, Kuantan.

“Saya berharap keluarga dapat memberi sokongan pada banduan yang dibebaskan dalam memastikan mereka dapat memulakan kehidupan baharu yang sempurna dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Kita menyediakan pegawai yang sedia membantu keluarga yang berhadapan masalah dengan banduan yang mungkin mengulangi perbuatan lalu, keluarga boleh terus berhubung dengan pegawai berkenaan sekiranya perkara berkenaan berlaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top