am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun sanggup menaiki motosikal sejauh lebih 500 kilometer (km) dari Tumpat ke Kulim, Kedah, semata-mata untuk berjumpa dengan kekasih yang dikenali di media sosial.
Remaja perempuan berkenaan yang dirogol oleh kekasihnya pergi ke Kulim dengan rakannya dalam kejadian pada tiga bulan lalu.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa baru saja kenal dengan lelaki berusia 30-an mungkin dalam tempoh sebulan atau dua bulan sebelum mereka mengambil keputusan untuk berjumpa.
Katanya, mangsa bersama rakannya yang juga berusia 14 tahun pergi ke Kulim dengan menaiki motosikal untuk berjumpa dengan lelaki itu.
“Susulan itu, mangsa dirogol di satu kawasan di Kulim sebelum mereka pulang ke rumah.
“Kedua-dua remaja perempuan itu hilang selama empat hari menyebabkan ibu bapa masing-masing membuat laporan polis mengenai kehilangan anak.
“Selepas empat hari, kedua-dua mereka pulang ke rumah di Tumpat, namun motosikal yang dinaiki rosak di Gerik dan mereka meminta pertolongan sebuah kereta,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Terdahulu, beliau menjadi panel dalam forum perbincangan Ketua Polis Kelantan ‘Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Beliau berkata, apabila sampai di rumah ibu bapa menyoal anak-anak dan mereka menceritakan kejadian kepada ibu bapa masing-masing. Susulan itu, mereka membuat laporan polis berikutan remaja itu dirogol.
“Justeru, saya menasihatkan ibu bapa supaya pantau pergerakan dan telefon bimbit anak masing-masing.
“Ini berikutan kita mengesyaki anak-anak suka tengok pornografi yang menjadi punca kes rogol,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




