Semangat patriotik Isaac Voo menebal, teruja sertai PLKN

Semangat patriotik Isaac Voo menebal, teruja sertai PLKN

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bintang K-pop kelahiran Malaysia, Isaac Voo, 31, yang juga anggota SKYE (IN2IT) di Korea Selatan menyertai program Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 demi semangat patriotiknya.

Isaac yang ditempatkan di Lapang Sasar Mawilla, Markas Wilayah Laut 1 berkata memang sudah berimpian lama mahu merasa pengalaman untuk menjalani khidmat ketenteraan.

“Saya gembira sangat dapat join PLKN 3.0 dan momen ini takkan saya lupakan. Memang dari dulu lagi teringin nak rasa macam mana jadi abang askar. Selama ini tengok kawan-kawan Korea masuk khidmat tentera.

“Kali ini saya sendiri rasa jadi askar Malaysia. Memang tak sangka dapat peluang pakai baju celoreng dan pegang senjata sebenar Rifle M16. Tapi jangan risau, saya bukan nak tukar profesion.

“Apa yang saya boleh cakap, PLKN 3.0 memang ‘best’! Rugi kalau anda tidak sertainya,” katanya.

Keterujaan Isaac itu didorong susulan rakan sekumpulannya dalam SKYE pun pernah menjalani latihan ketenteraan di Korea Selatan.

Dia pun mencuba pengalaman sendiri dalam aktiviti ketenteraan dan terharu apabila diberi peluang untuk memakai baju celoreng, dan menembak menggunakan senjata.

Isaac antara selebriti tanah air yang mempromosikan program terbabit dengan harapan agar lebih ramai anak muda turut serta.

Antara selebriti lain yang turut serta adalah Fattah Amin, Diana Danielle, Syaidatul Afifah, Amira Othman serta beberapa pempengaruh media sosial yang lain.

Pengalaman unik berkenaan bukan sahaja menjadi kenangan manis buat Isaac, malah menjadi penghubung antara dunia K-pop dan semangat patriotik anak muda Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top