Seawal 5 pagi sudah beratur di pintu sempadan

Seawal 5 pagi sudah beratur di pintu sempadan

nfazlina@nstp.com.my

Rantau Panjang: Pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini sesak sejak semalam dengan kebanyakan warga Thailand mahu pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha.

Tinjauan mendapati, seawal jam 5 pagi mereka sudah menunggu di pintu masuk yang mula dibuka jam 7 pagi.

Malah, laluan untuk ke ICQS juga mengalami kesesakan teruk sehingga lebih satu kilometer.

Selain dipenuhi warga Thailand yang mahu pulang menyambut Aidiladha di negara mereka, ada juga rakyat Malaysia yang mengambil peluang bercuti di negara jiran sempena cuti persekolahan dan Aidiladha.

Sukri Mamat, 26, yang juga warga Thailand memaklumkan dia menunggu di pintu masuk seawal jam 5 pagi selepas tiba di Kelantan pagi ini.

“Saya kerja di Kuala Lumpur dan hari ini mahu pulang ke kampung di Narathiwat untuk menyambut Aidiladha selepas mendapat cuti selama seminggu.

“Sebaik tiba jam 5 pagi tadi, orang ramai sudah menunggu pintu ICQS dibuka dan setiap kali perayaan, suasana seperti ini adalah biasa.

“Walaupun letih terpaksa menempuh perjalanan jauh dan menunggu di ICQS, namun saya teruja untuk berjumpa keluarga dan menyambut Aidiladha,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, penduduk tempatan, Ismail Ahmad, 42, berkata dia mula beratur seawal jam 6 pagi bersama keluarga kerana mahu bercuti di Thailand berikutan pulang ke kampung di Kelantan.

“Saya sedar ketika ini ICQS sesak dengan warga Thailand yang mahu pulang ke sana, namun disebabkan kami sekeluarga pulang ke Kelantan untuk beraya, kami mengambil peluang untuk bercuti di Pattani.

“Hari ini masuk Thailand untuk berjalan dan makan-makan, esok kami balik semula. Saya dimaklumkan semalam pun keadaan di sini sesak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top